PELAKON dan usahawan popular, Abby Abadi, mencuri perhatian warganet apabila menitipkan ucapan ulang tahun kelahiran buat anak perempuannya, Marissa Dania Hakim yang kini genap berusia 21 tahun.
Biarpun tidak dapat hadir meraikan sambutan hari istimewa bersama, pemilik nama Arbaiyah Abdul Manan, 49, itu sempat memuat naik ucapan yang mendalam buat permata hatinya.
"Sanah helwah adik, Marissa Dania yang ke-21. Alhamdullillah, sihat sempurna, cantik lawa manis selalu anak mama.
"Maaf tidak dapat sambut sama-sama hari ini. Apa pun semoga majlis berjalan lancar dan penuh rahmat.
Dalam pada itu, Abby sempat berkongsi foto momen bersama Marissa sekali gus mengimbas kenangan membesarkan anak-anak sambil berniaga. Dia turut mengimbas kembali detik cemas dan unik ketika melahirkan Marissa 21 tahun yang lalu.
Menurut Abby, Marissa mempunyai keistimewaan tersendiri dan diakui sebagai seorang anak yang baik.
"Anak yang baik, anak yang cantik. Tapi sebab nombor dua, sukar dijangka," imbas Abby mengimbas memori lalu.
Bukan itu sahaja, Abby turut meluahkan kasih sayang dia dan suami, Muhammad Faizal Zakaria kepada Marissa.
"Mama sayang adik, abah sayang adik sangat tau. Cuma tak tunjuk sebab abah memang bukan jenis gitu," kongsinya.
Menjengah ruangan komen, warganet rata-rata mengucapkan hari lahir buat Marissa, selain mendoakan agar hubungan kekeluargaan mereka kekal harmoni.
Sekadar info, Abby terdahulu berkahwin dengan aktor Norman Hakim pada tahun 2002 namun berpisah Disember 2008. Tujuh tahun berkongsi hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hdakim, 22, dan Marissa Dania Hakim, 21 dan Maria Danisha, 18.
Pemain watak Inspektor Aliza dalam drama penyiasatan Gerak Khas berkenaan kemudian mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal pada tahun 2015.