MENANTI kelahiran cahaya mata sulung sememangnya satu fasa yang mendebarkan, penuh dengan tanda tanya dan emosi yang bercampur-baur.
Dalam dunia hari ini, lambakan maklumat di hujung jari kadangkala bukan menenangkan, sebaliknya menambahkan kekeliruan bakal ibu bapa dengan pelbagai petua yang tidak sahih.
Menyedari hakikat bahawa persediaan keibubapaan memerlukan bimbingan yang tepat, SinarPlus baru-baru ini menganjurkan kelas antenatal 2026 dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Columbia Asia Hospital Bukit Rimau.
Berlangsung penuh meriah di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada 28 Jun lalu, program itu berjaya menghimpunkan seramai 200 bakal ibu dan bapa yang komited demi menimba ilmu.
Program yang bermula seawal jam sembilan pagi ini bukan sekadar platform teori, malah menyediakan pengisian interaktif yang sangat praktikal.
Selepas sesi suai kenal dan ice breaking yang gamat, para peserta didedahkan dengan empat slot utama yang dikendalikan terus oleh pakar industri.
Sesi pertama dimulakan oleh Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr. Choi Yee Xian yang mengupas persiapan fizikal menghadapi debaran bilik bersalin.
Kesihatan mental turut diberi perhatian berat melalui sesi kedua bersama Pakar Perunding Psikiatri, Dr. Meena Kumari Ramasamy yang membincangkan isu kemurungan selepas bersalin.
Kehadiran pihak PTPTN melalui Norli Abu Bakar pula memberi dimensi baharu dalam perancangan kewangan anak menerusi Simpanan SSPN, sebelum kelas diakhiri dengan tips pemulihan diri dan berpantang oleh wakil Tini Spa.
Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan, Ryna Mokhtar, program julung kali anjuran SinarPlus tersebut dirancang khas untuk menyediakan platform ilmu keibubapaan yang telus bagi mengurangkan rasa cemas pasangan muda.
“Bagi pasangan yang pertama kali menimang cahaya mata, debaran menunggu detik kelahiran itu Tuhan sahaja yang tahu.
“Kehadiran ke kelas antenatal ini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan untuk mengutip ilmu keibubapaan yang sahih terus daripada pakar perubatan.
“Menimba ilmu secara bersemuka sebegini memberi jaminan maklumat yang lebih telus sebelum melangkah ke alam keibubapaan yang penuh cabaran,” ujarnya.
Kongsinya lagi, dengan maklum balas peserta yang amat positif, program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi melahirkan lebih banyak komuniti ibu bapa yang berilmu dan bersedia dalam melangkah ke fasa keibubapaan kelak.
Perkongsian bakal ibu bapa
Bagi para peserta, program sebegini memberikan impak yang sangat mendalam, terutama dalam membetulkan persepsi dan mempersiapkan mental mereka.
Rata-rata pasangan melahirkan rasa syukur kerana pengisian program merangkumi aspek kesihatan fizikal, emosi, sehinggalah kepada persediaan masa depan anak seawal dari dalam kandungan lagi.
Salah seorang peserta, Nurmalinda Abdul Razak berkongsi pandangannya tentang betapa pentingnya pengisian kelas ini untuk kehamilan pertamanya.
“Ini kehamilan pertama dan semestinya banyak benda yang perlu saya dan suami pelajari terutama pengendalian bayi dan pengurusan emosi.
“Alhamdulillah, menerusi program ini banyak ilmu yang saya peroleh untuk diaplikasikan nanti,” katanya.
Bagi Nurulhazwanie Abd Khohar pula, pengalaman pernah keguguran sebelum ini mendorong dia dan suami untuk lebih serius menambah ilmu penjagaan kehamilan yang betul.
Walaupun banyak merujuk kepada kenalan dan saudara-mara, dia mengakui input daripada pakar dalam kelas ini memberikan keyakinan yang lebih tinggi buat mereka berdua.
Menariknya, program ini turut menekankan kepentingan peranan sang suami, yang sering kali dianggap sekadar ‘pemerhati’ dalam proses kehamilan.
Kesedaran itu disuarakan sendiri oleh salah seorang bakal bapa, Mohd Afiq Mohd Jawahin.
Katanya, tanggungjawab membesarkan anak memerlukan gandingan bahu yang erat antara suami isteri.
Malah, banyak ilmu baharu yang diperoleh, terutama dalam mengendalikan bayi kelak.
“Nasihat saya buat bakal bapa di luar sana, banyak manfaat jika kita turut serta dalam program sebegini.
“Jangan hanya mengharapkan isteri semata-mata untuk hadir. Ini kerana anak bukan tanggungjawab pasangan kita sahaja.
“Buat isteri, terima kasih kerana kandungkan anak kami,” kongsi Afiq penuh penghargaan.
Kemeriahan kelas tidak berakhir dengan perkongsian ilmu sahaja, malah diserikan dengan slot kuiz, cabutan bertuah dan hadiah lumayan seperti Simpanan Istimewa SSPN bernilai RM500, wang tunai serta pakej penginapan hotel.
Program berskala besar itu dijayakan bersama barisan penaja utama termasuk ParkRoyal Penang, Larrie, Abaro, Bellaz Beauty, Pureen, Gardenia, Nivea, Hotel Raia, Tini Spa dan banyak lagi yang komited dalam menyokong kesejahteraan institusi keluarga.