SELEPAS tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan bersama, pelakon jelita Datin Nelydia Senrose dan suami tercinta, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid akhirnya bakal bergelar ibu dan ayah tidak lama lagi.
Berita gembira mengenai kehadiran orang baru yang disahkan sebagai bayi lelaki itu mula tular selepas pelakon Nadiyah Shahab berkongsi momen indah sekitar majlis pengumuman jantina atau gender reveal yang diadakan secara tertutup pada Ahad lalu menerusi Instagram Story miliknya.
Suasana majlis yang dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat itu bertukar hiba dan penuh emosi apabila Hafez mengambil kesempatan untuk menitipkan ucapan penghargaan yang cukup menyentuh hati buat isterinya sebelum gimik pelancaran dilakukan.
Kata-kata ikhlas daripada suami tercinta yang memuji ketabahan dan kasih sayangnya sepanjang perkahwinan mereka nyata menyentuh tangkai hati Nelydia atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia binti Nik Sen yang kelihatan anggun mengenakan busana merah sehingga mengalirkan air mata kegembiraan di hadapan tetamu.
"Sebelum mendedahkan kejutan pada hari ini, saya ingin berterima kasih kepada Nelydia kerana menjadi isteri yang hebat,” luah Hafez dengan penuh romantis ketika berucap di majlis tersebut.
Sorotan indah tersebut pastinya menjadi momen paling dinantikan oleh peminat setia pelakon berusia 32 tahun itu selepas pasangan berkenaan mengumumkan berita kehamilan pada 8 April lalu bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.
Sekadar makluman, Nelydia dan Hafez mendirikan rumah tangga pada April 2019.
Detik bahagia yang dikongsikan ini bukan sahaja membuktikan keindahan sebuah kesabaran dalam menanti zuriat, malah lambang kasih sayang utuh pasangan merpati sejoli ini yang bakal melangkah ke fasa keibubapaan dengan penuh keterujaan.