ADA sesuatu yang istimewa tentang budaya kopitiam di Malaysia. Di sinilah secawan kopi panas, roti bakar dan hidangan tradisi menjadi penyatu pelbagai generasi.
Bukan sekadar tempat mengisi perut, malah ruang untuk berkongsi cerita, mengimbau kenangan dan meluangkan masa bersama insan tersayang.
Apabila elemen nostalgia itu dipersembahkan dalam suasana yang lebih elegan, pengalaman menjamu selera pastinya terasa berbeza.
Buat pencinta makanan tempatan yang gemarkan suasana klasik, Hock Kee Heritage kini tampil sebagai destinasi baharu yang wajar dimasukkan dalam senarai.
Selepas mendapat sambutan menggalakkan menerusi cawangan pertamanya di Medan Pasar, Hock Kee Kopitiam kini membuka cawangan kedua berkonsepkan warisan di The Gardens Mall dengan mengetengahkan keindahan seni bina lama serta kekayaan budaya kulinari Malaysia.
Sebaik melangkah masuk, pengunjung akan disambut dengan ruang yang menghidupkan kembali pesona era kolonial Tanah Melayu. Gerbang yang elegan, ukiran kekisi yang halus, jubin bercorak Peranakan, kehijauan tropika dan halaman yang mendamaikan disusun rapi, mewujudkan suasana eksklusif tanpa menghilangkan kehangatan sebuah kopitiam.
Walaupun diinspirasikan daripada kelab sosial mewah suatu ketika dahulu, Hock Kee Heritage dibina dengan semangat keterbukaan.
Ia menjadi ruang untuk semua berkumpul di satu meja, menikmati hidangan tempatan sambil menghargai warisan yang telah diwariskan turun-temurun.
Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng berkata, konsep Heritage diwujudkan bagi memberikan pengalaman yang lebih daripada sekadar menikmati makanan.
"Hock Kee Heritage bukan sekadar sebuah restoran, tetapi destinasi yang mengajak orang ramai memperlahankan rentak kehidupan dan menghayati warisan Malaysia menerusi suasana yang elegan, hidangan eksklusif serta layanan yang mesra.
"Kami berharap setiap kunjungan memberikan pengalaman seolah-olah melangkah ke lembaran sejarah Malaysia yang tidak lapuk ditelan zaman," ujarnya.
Menu berkonsepkan warisan
Rangkaian menu eksklusif yang hanya boleh dinikmati di cawangan berkonsepkan warisan itu termasuklah Cheesy Jumbo River Prawn Bee Hoon yang menggabungkan mi hoon dengan udang galah bersaiz besar dan keju yang lemak berkrim.
Bagi penggemar hidangan berempah pula, Herbal Chicken with Rice menawarkan rasa yang cukup menyelerakan, manakala Heritage Fried Basmathi Rice with Chicken Satay mengangkat gabungan nasi basmati dan sate ayam dalam gaya yang lebih moden.
Setiap menu diinspirasikan daripada resipi-resipi nostalgia yang dekat dengan masyarakat tempatan sebelum diberikan sentuhan baharu tanpa menghilangkan identiti asalnya dalam memelihara keaslian rasa Malaysia dalam gaya yang lebih kontemporari.
Menariknya, majlis pembukaan Hock Kee Heritage turut meraikan budaya kopitiam menerusi muzik apabila kumpulan pop tempatan 1119 TRIPLE1NINE mempersembahkan lagu tema rasmi Hock Kee Kopitiam berjudul KOPITIAM You & Me buat julung kalinya.
Lagu ciptaan dan gubahan Danny Koo itu meraikan pemandangan, bunyi serta cita rasa yang begitu sinonim dengan budaya kopitiam Malaysia. Sejak dilancarkan, video muziknya telah meraih lebih 260,000 tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan bahawa budaya kopitiam masih dekat di hati masyarakat pelbagai generasi.
Bermula di Johor Bahru pada 2018, Hock Kee Kopitiam kini berkembang dengan 22 cawangan di seluruh negara.