USIA mungkin sekadar angka, namun apabila perjalanan hidup dipenuhi dengan pelbagai pengalaman, setiap ulang tahun pasti membawa makna yang berbeza.
Bagi legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, ulang tahun kelahiran ke-58 bukan sekadar meraikan pertambahan usia, sebaliknya menjadi detik untuk mensyukuri nikmat keluarga, melihat anak membesar dan menghargai setiap fasa kehidupan yang pernah dilalui.
8 Julai lalu menjadi hari istimewa buat Rashid apabila sambutan hari lahirnya diraikan dalam suasana sederhana tetapi penuh bermakna bersama isteri tercinta, Datin Azehan Abdul Halim serta empat cahaya mata yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan kebahagiaannya.
Di sebalik senyuman yang terukir, bekas jaguh badminton negara itu mengakui perjalanan hidup selama 58 tahun bukanlah sesuatu yang mudah. Ada saat manis, ada juga waktu sukar yang mengajar erti kehidupan.
"58 tahun pasang surut kehidupan dipenuhi dengan setiap warna kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan ujian.
"Namun saya amat bersyukur atas setiap rahmat dan setiap detik yang ALLAH kurniakan kepada saya,.
"Alhamdulillah atas setiap aturan, setiap ujian dan setiap kurniaan. Semoga langkah yang masih berbaki terus dipimpin dengan rahmat, keberkatan dan kasih sayang ALLAH. Aamiin,"ujarnya
Namun, sambutan ulang tahun kali ini menjadi lebih bermakna apabila Rashid turut meraikan satu lagi detik yang cukup membanggakan dalam hidupnya sebagai seorang bapa.
Pesanan buat anak sulung
Beberapa hari sebelum itu, anak sulungnya, Ikhwan, berjaya menamatkan pengajian di Heriot-Watt University Malaysia sekali gus bergelar graduan universiti.
Menerusi perkongsian di media sosial, Rashid berkongsi foto bersama Ikhwan yang segak mengenakan jubah konvokesyen.
Wajahnya jelas menggambarkan rasa syukur dan bangga melihat anak yang suatu ketika dahulu dihantar ke sekolah kini melangkah ke alam dewasa dengan satu pencapaian besar.
Lebih menyentuh hati, beliau turut menitipkan pesanan yang sarat dengan doa dan harapan buat anak sulungnya itu.
“Hari ini kamu menyarung jubah graduasi, hari esok kamu akan meraih pencapaian yang lebih hebat lagi. Bismillah untuk lembaran seterusnya.
"Terbanglah setinggi langit, namun jangan pernah lupa di mana kita bermula. Semoga setiap langkah sentiasa dalam rahmat dan petunjuk Allah.
"Tahniah Ikhwan. Babah sangat bangga dengan kamu."
Ucapan itu bukan sahaja menyentuh hati warga maya, malah menggambarkan hubungan erat antara seorang ayah dan anak yang dibina atas kasih sayang, didikan serta nilai kehidupan.
Di sebalik segala pencapaian yang diraih, Rashid tidak pernah melupakan insan yang setia berada di sisinya. Kehadiran Datin Azehan sebagai teman hidup menjadi antara tunjang utama yang melengkapkan perjalanan kehidupannya.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 21 Mac 2003. Kini, selepas lebih dua dekad melayari alam perkahwinan dan membina keluarga bersama, Rashid dilihat menikmati fasa kehidupan yang cukup bermakna dikelilingi isteri yang setia, anak-anak yang semakin berjaya serta rasa syukur atas setiap nikmat yang dikurniakan.
Bagi Rashid, trofi dan kemenangan di gelanggang mungkin menjadi kenangan indah suatu ketika dahulu, namun melihat anak melakar kejayaan sendiri dan menikmati kebahagiaan bersama keluarga nyata merupakan kemenangan yang jauh lebih bernilai.