MENJADI impian setiap pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga pastinya mahu memiliki dan menghias mahligai mengikut cita rasa sendiri.
Pelakon jelita Datin Atikah Suhaime juga tidak terkecuali yang akhirnya berkongsi khabar gembira apabila dia dan suami yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zaitun Datuk Lokman Teh, mendapat 'lampu hijau' daripada bapa mentuanya untuk berpindah ke rumah sendiri.
Walaupun ini adalah momen yang dinanti-nantikan sejak awal perkahwinan, Atikah mengakui timbul rasa berat hati dan gementar untuk memulakan hidup berdikari.
"Akhirnya papa mertua memberi keizinan untuk berpindah ke rumah sendiri bersama suami. Sepatutnya saya berasa gembira kerana inilah yang ditunggu-tunggu sejak berkahwin, mahukan rumah berkonsepkan minimalis dan sebagainya.
"Namun, mengapa saya berasa berbelah bahagi? Sebenarnya, tinggal bersama mentua adalah perkara yang paling heaven kerana tidak perlu memikirkan tentang semua perkara.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman sosialnya, Atikah secara jujur meluahkan rasa gementar.
"Saya berasa gementar untuk berdikari bersama suami, tetapi saya percaya kami mampu melakukannya. Saya sayang kamu, sayang. Kita kini orang dewasa yang berdikari!" titip Atikah di Thread.
Baginya, melayari bahtera rumah tangga sebumbung dengan ibu dan bapa mentua membuatkan dia berasa sangat dimanjakan dan tidak perlu runsing memikirkan banyak perkara. Malah, dia menyifatkan pengalaman tinggal bersama mereka sebagai satu nikmat yang luar biasa dan ada perkara-perkara kecil yang pasti akan dirinduinya kelak.
"Ya, sebab siapa yang akan masakkan sup untuk Tika kalau bukan ibu mentua? Siapa yang mahu menaja itu dan ini kalau bukan papa mentua? Siapa yang Tika boleh mengadu setiap kali bergaduh dengan suami? Selalunya ibu dan papa yang akan memarahi suami semula," kongsinya.
Menurutnya, keputusan untuk berpindah keluar dilakukan demi keselesaan keluarga kecil mereka.
"Saya berpindah kerana Mulan semakin membesar dan memerlukan bilik sendiri. Rumah tersebut dihuni seramai 10 orang, jadi sudah tiada ruang lagi," kongsinya lagi.
Untuk rekod, Atikah dan Lokman sah bergelar suami isteri pada 21 Januari 2024. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Lyla Mulan Teh yang kini berusia setahun empat bulan.
Sumber: Thread