PEMPENGARUH media sosial, pelukis dan usahawan, Shikin Maembong kini tampil dengan imej berhijab menjadi inspirasi ramai.
Penghijrahan itu dilakukan tepat pada hari ulang tahun kelahiran suaminya, penyanyi Cat Farish dan beberapa hari selepas anniversary ketiga menjadi hadiah terindah.
Menerusi hantaran di media sosial, Shikin tampil menjelaskan niat asalnya bagi mengelakkan tuduhan atau sebarang salah faham.
"Ada yang komen, 'Jangan pakai tudung sebab manusia, pakailah kerana ALLAH.' Betul, keputusan ini datang daripada hati saya sendiri. Saya solat, zikir, buat amal yang lain, tapi tetap rasa kurang," kongsi Shikin jujur.
Menceritakan momen hatinya terbuka untuk berhijab, wanita itu mendedahkan ada satu perasaan bersalah yang mendalam sering bersarang di jiwanya setiap kali mendidik anak-anak.
"Setiap pagi saya ingatkan anak saya untuk doa dan zikir sebelum ke sekolah. Saya cakap, 'ALLAH suka kita minta-minta pada DIA sebab ALLAH hendak kita selalu ingat pada-NYA.'
"Namun, jauh dalam hati kecil, saya bermonolog: 'Aku sudah minta macam-macam kat ALLAH dan dimakbulkan, ALLAH cuma minta aku jaga aurat sahaja pun aku tidak buat,'" titipnya di Thread.
Artikel berkaitan
Shikin menegaskan bahawa keputusan berhijab sama sekali tidak melibatkan desakan sesiapa termasuk pasangan hidupnya itu. Katanya, Cat adalah seorang suami yang sangat memahami dan hanya menunjukkan sokongan secara halus.
"Saya pakai hijab bukan sebab suami suruh. Suami saya tak pernah paksa. Cuma dia pernah bagi-bagi 'hint' untuk beli baju yang boleh dipakai dengan hijab nanti. Jadi, bila tiba-tiba saya buat keputusan untuk pakai, semestinya suamilah individu yang paling gembira," katanya lagi.
Menariknya, Shikin mengakui pada peringkat awal hanya berniat untuk mengenakan hijab sepanjang bekerja sahaja. Bagaimanapun, hidayah itu hadir dengan cara yang cukup indah.
"Mula-mula ingat nak pakai waktu kursus sahaja atas dasar kerja. Tapi bila dah habis kursus, waktu nak pergi jalan-jalan, tiba-tiba rasa malu pula nak keluar (tanpa hijab). Bila saya beritahu keputusan itu, suami terkejut dan bertanya, 'Serius ke ni?' Saya jawab, 'Ya!'" cerita Shikin .
Menyemai harapan baharu dalam fasa hidupnya semoga lebih patuh, Shikin memohon orang ramai terus mendoakan agar dirinya terus istiqamah.
"Semoga langkah kecil ini buatkan saya lebih dekat kepada-NYA dan diberkati ALLAH SWT, insya-ALLAH. Doakan saya," tuturnya menutup bicara.