AHLI Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya menamatkan lariannya hampir 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar, Johor.
Tiba di Muar kira-kira 9.15 pagi, tunang pelakon dan penyanyi Bella Astillah itu disambut oleh kedua ibu bapanya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Syed Abdullah.
Laman sosial Team Saddiq berkongsi mama dan abuya ahli politik itu menyambut ketibaan anak bongsu mereka dengan pelukan dan ciuman sekali gus mengakhiri Larian Kesyukuran Muar.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan Misi Larian Kesyukuran sejauh hampir 170 kilometer apabila tiba di garisan penamat di Laman Maharani di sini kira-kira jam 9.15 pagi Ahad.
Laungan"Hidup Muar" dan"Tahniah YB" bergema sebaik bekas Menteri Belia dan Sukan itu menamatkan larian terakhir sejauh 17 kilometer yang bermula dari Simpang Sungai Rambai pada jam 7 pagi.
Menerusi laman sosial teambassofficial, anak sulung Bella, Ayden Adrian juga menyertai Syed Saddiq dalam larian pada hari terakhir ini.
"Wah Ayden di hadapan mengetuai daddy! Siap ada konvoi motor lagi!! Go iron family go," kongsinya.
Larian selama empat hari yang bermula pada 16 Julai lalu dari Putrajaya itu berakhir dengan sambutan meriah daripada ratusan penyokong dan penduduk Muar yang memenuhi kawasan Laman Maharani seawal jam 8 pagi.
Syed Saddiq yang memakai sepersalinan sukan berwarna hitam dilihat memasuki pusat bandar Muar sebelum merentasi Jambatan Sultan Ismail menuju ke lokasi penamat bersama beberapa kumpulan pelari, termasuk Muo Runner.
Bermula di pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya dan merentasi Negeri Sembilan serta Melaka sebelum berakhir di Muar, larian tersebut dianjurkan sebagai tanda kesyukuran selain mengumpul dana kebajikan untuk membantu penduduk Parlimen Muar.
Kutipan dana RM361,848 berjaya dikumpul melepasi sasaran awal RM200,000 yang ditetapkan. Dana yang diperoleh akan digunakan bagi menyediakan bakul makanan kepada keluarga memerlukan serta membeli iPad untuk pelajar yang tidak mempunyai akses kepada peranti pembelajaran.
Sumber: Instagram 1, 2, Sinar Harian