Anak suka sengetkan kepala, orang dewasa pula silau waktu malam? Ini mungkin petanda awal juling dan katarak yang ramai tak sedar

Iklan

SEORANG  kanak-kanak kerap mencondongkan kepala ketika menonton televisyen. Ada pula yang sering mengecilkan mata untuk melihat tulisan di papan putih. Bagi orang dewasa, pemanduan pada waktu malam mula terasa mencabar kerana silau lampu kenderaan dari arah bertentangan.

Keadaan ini mungkin kelihatan biasa, namun ia boleh menjadi petanda awal masalah mata yang tidak seharusnya dipandang ringan. Lebih membimbangkan, kebanyakan gangguan penglihatan berkembang secara perlahan sehingga ramai hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan semakin serius.

Iklan
Iklan

Menurut Perunding Oftalmologi dan Oftalmologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Fazilawati A Qamarruddin, dua masalah mata yang sering berlaku tetapi kurang diberi perhatian ialah juling (strabismus) dan katarak.

"Juling berlaku apabila kedudukan mata tidak selari dan memandang ke arah yang berbeza. Sebelah mata mungkin memandang lurus manakala sebelah lagi tertumpu ke dalam, luar, atas atau bawah," katanya.

Iklan

Juling boleh berlaku pada semua peringkat umur. Selain menjejaskan penglihatan dan persepsi kedalaman, keadaan itu turut memberi kesan kepada pembelajaran serta keyakinan diri. Ia lazimnya berpunca daripada ralat biasan yang tidak dirawat, namun juga boleh dikaitkan dengan masalah saraf, trauma atau defisit neurologi.

Dalam kalangan orang dewasa, juling yang muncul secara tiba-tiba, terutama jika disertai penglihatan berganda, memerlukan pemeriksaan segera bagi menolak kemungkinan masalah serius seperti tumor pada otak atau orbit.

Iklan

Kajian global menganggarkan antara dua hingga empat peratus kanak-kanak mengalami strabismus. Walaupun peratusannya kecil, ramai hanya dikesan selepas prestasi akademik atau interaksi sosial mula terjejas.

"Jika seorang kanak-kanak mengalami rabun jauh yang tinggi, usaha untuk fokus boleh menyebabkan mata juling ke dalam. Dalam kebanyakan kes, mata akan kembali lurus sebaik sahaja kanak-kanak itu memakai cermin mata yang betul. Walau bagaimanapun, sekiranya anak tiba-tiba menjadi juling, kita perlu melakukan pemeriksaan dengan segera," jelas beliau.

Katarak moden

Jika dibiarkan, juling boleh menyebabkan ambliopia atau mata malas. Keadaan ini berlaku apabila otak lebih bergantung kepada mata yang mempunyai penglihatan lebih jelas, manakala mata yang lemah semakin kurang dirangsang.

Atas sebab itu, saringan mata seawal usia tiga tahun dan sekali lagi sebelum memasuki sekolah rendah amat digalakkan. Ibu bapa juga perlu peka jika anak sering mengecilkan mata, duduk terlalu dekat dengan televisyen, mencondongkan kepala atau mengadu sakit kepala kerana semua itu mungkin petanda masalah penglihatan.

Katarak merupakan masalah mata yang kerap dialami warga emas. Antara gejalanya ialah penglihatan kabur, silau, warna kelihatan pudar dan kesukaran memandu pada waktu malam.

Risiko turut meningkat dalam kalangan pesakit diabetes, perokok dan mereka yang sering terdedah kepada cahaya matahari.

Menurut Dr Fazilawati, pemeriksaan awal penting kerana penggunaan cermin mata mungkin dapat membantu sebelum pembedahan diperlukan.

"Apabila cermin mata tidak lagi membantu dan aktiviti harian terjejas, barulah kita mempertimbangkan pembedahan," katanya.

Beliau menjelaskan, pembedahan katarak moden menggunakan teknik fakoemulsifikasi yang mana luka hirisan pembedahan adalah kecil dan ini mempercepatkan proses penyembuhan. Kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama dan kembali melakukan aktiviti ringan dalam tempoh seminggu.

Dalam era digital, penggunaan skrin yang berpanjangan turut menjadi kebimbangan kerana boleh memburukkan rabun jauh, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Justeru, beliau menyarankan amalan peraturan 20-20-20, iaitu setiap 20 minit melihat skrin, alihkan pandangan selama 20 saat ke objek yang berada kira-kira 20 kaki dari mata.

Dr Fazilawati turut mengesyorkan pemeriksaan mata bermula pada usia 40 tahun, manakala individu yang menghidap diabetes perlu menjalani saringan setiap tahun.

Pengesanan awal bukan sahaja membantu mengekalkan penglihatan, malah memberi peluang kepada rawatan yang lebih berkesan sebelum masalah menjadi lebih serius.