'Kecaman cuma angin lalu, yang penting komitmen dan disiplin.'
Itulah prinsip yang dipegang pelakon popular, Fasha Sandha, sepanjang lebih dua dekad mewarnai industri seni tanah air.
Biarpun namanya tidak pernah sunyi daripada perhatian ramai, aktres berusia 41 tahun itu memilih untuk tidak membiarkan suara negatif mencuri kebahagiaan yang dibina bersama keluarga.
Terbaharu, ibu kepada tiga cahaya mata itu sekali lagi membuktikan pengaruhnya apabila diumumkan sebagai duta jenama penjagaan kulit Safi Youth Gold Rania.
Di sebalik senyuman manis yang sentiasa menghiasi wajahnya, Fasha mengakui perjalanan sebagai anak seni bukanlah mudah, namun pengalaman mengajarnya untuk lebih matang dalam menilai setiap perkara yang datang.
Menurut pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan, kecaman bukan lagi sesuatu yang perlu dilayan kerana baginya, perkara yang lebih penting ialah menjaga komitmen terhadap kerjaya.
"Saya percaya, setiap apa yang kita dapat tidak kekal. Apa-apa saja termasuk kecaman, ia seperti angin lalu. Yang saya jaga dan betul-betul fokus ialah kerjaya, komitmen dan disiplin. Yang itu orang tak boleh ganggu, orang tak boleh sentuh.
"Kalau orang nak kecam, saya okey saja. Sebab pada saya, yang paling penting ialah menjaga komitmen dan disiplin dalam industri ini.
"Saya juga tak pernah menganggap artis hak masyarakat. Ini adalah kerjaya saya sebagai seorang pelakon," katanya ketika ditemui SinarPlus.
Berkongsi rahsia dirinya kekal tenang meskipun sering menjadi perhatian netizen, Fasha menyifatkan sokongan suaminya, Aidil Aziz, sebagai sumber kekuatan paling besar dalam hidupnya.
Kaya kasih sayang
Katanya, memiliki pasangan yang sentiasa mempercayai dan memahami dirinya membuatkan dia tidak lagi mudah terkesan dengan kata-kata negatif.
"Kalau kita layan semua benda, nanti mental boleh koyak. Jadi lebih baik relaks dan nikmati hidup.
"Saya ada suami yang sangat supportive, sentiasa percaya dan beri sokongan terbaik. Itu pun sudah cukup membahagiakan saya.
"Pada saya, biarlah hidup sederhana, tidak semestinya mewah harta, tetapi kaya dengan kasih sayang," ujarnya.
Dalam pada itu, Fasha mengakui jadual penggambaran yang padat sepanjang tahun ini sedikit sebanyak mengurangkan masa bersama keluarga. Namun, dia bersyukur kerana Aidil sentiasa memahami komitmennya sebagai pelakon.
Malah, setiap kali kesibukan kerja memuncak, perkara pertama yang dilakukan ialah memohon maaf kepada suami kerana tidak dapat meluangkan masa seperti biasa.
"Saya tak mengadu, tapi lebih kepada meminta maaf kepada suami kerana kesibukan kerja menyebabkan saya kurang masa dengan suami dan anak-anak.
"Alhamdulillah, suami sangat memahami. Kami memang pegang prinsip bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
"Saya tak nak masih bergelut bekerja apabila usia mencecah 50 tahun. Saya ada impian untuk lebih relaks, melancong dan menikmati masa bersama keluarga.
"Walaupun tawaran kerja sentiasa ada, saya anggap ini rezeki anak-anak. Selagi mampu saya akan terus bekerja, tetapi pada masa sama perlu mula kurangkan sedikit supaya dapat beri lebih perhatian kepada keluarga," katanya.
Merendah diri
Menyentuh mengenai rumah tangga yang kini memasuki tahun kelapan, Fasha merendah diri apabila enggan dianggap sebagai individu yang layak memberikan nasihat kepada pasangan lain.
Baginya, perkahwinan ialah satu amanah dan pinjaman yang perlu dihargai setiap hari kerana tiada siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.
"Saya tak pandai nak bagi nasihat sangat sebab perkahwinan saya baru lapan tahun, bukannya 80 tahun.
"Pada saya, kehidupan dan perkahwinan ini ialah pinjaman yang kita tak tahu berapa lama. Orang boleh berubah hati, sebab itu kita hanya mampu berdoa supaya pinjaman ini berkekalan dan kita buat yang terbaik dalam hubungan.
"Bila fikir balik, rupa-rupanya dah banyak juga memori yang kami bina bersama. Alhamdulillah, saya percaya hidup sederhana tetapi bahagia itu sudah cukup indah," katanya sambil tersenyum.