Keguguran berulang? Kenali APS, gangguan autoimun yang ramai wanita tidak sedar

Iklan

SEGELINTIR wanita menganggap keguguran berulang hanyalah soal rezeki atau berlaku secara kebetulan.

Hakikatnya, ada keadaan kesihatan tertentu yang boleh menjadi puncanya, namun sering terlepas pandang kerana tidak menunjukkan simptom yang jelas.

Iklan
Iklan

Salah satunya ialah Sindrom Antibodi Antifosfolipid (Antiphospholipid Antibody Syndrome atau APS), sejenis penyakit autoimun yang boleh menjejaskan kehamilan jika tidak dikesan lebih awal.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pantai Hospital Melaka, Dr Nor Idayu Ahmad Ruslan, APS merupakan gangguan autoimun yang menyebabkan darah lebih mudah membeku.

Iklan

Walaupun penyakit ini jarang berlaku, ia lebih banyak menyerang wanita berbanding lelaki. Malangnya, ramai penghidap tidak menyedari mereka mempunyai APS kerana gejalanya tidak begitu spesifik dan sering disalah anggap sebagai masalah kesihatan biasa.

Iklan

“APS menyebabkan pembekuan darah yang tidak normal, termasuk pada saluran darah uri. Keadaan ini boleh mengganggu bekalan oksigen dan nutrien kepada bayi sehingga menyebabkan keguguran, kematian bayi dalam kandungan atau pertumbuhan janin yang terbantut,” jelas beliau.

Bukan semua wanita perlu menjalani saringan APS, namun pemeriksaan amat disarankan bagi mereka yang mengalami tiga atau lebih keguguran awal sebelum usia kandungan 10 minggu tanpa punca yang jelas.

Selain itu, wanita yang pernah mengalami kematian janin selepas kandungan melepasi 10 minggu atau melahirkan bayi pramatang sebelum 34 minggu akibat preeklampsia teruk atau masalah fungsi plasenta juga disarankan menjalani ujian.

Apa yang membimbangkan, simptom APS sering dianggap sebagai masalah biasa. Antaranya termasuk sakit kepala atau migrain yang berpanjangan, sakit sendi, kekejangan otot, ruam atau kulit kering, sukar tidur, mudah lebam serta mengalami pendarahan hidung atau gusi. Walaupun gejala ini tidak semestinya menandakan APS, ia tidak wajar dipandang ringan jika berlaku bersama sejarah keguguran berulang.

Sumber gambar: PEXELS

Sejarah keguguran berulang

Selain meningkatkan risiko keguguran, APS juga boleh menyebabkan komplikasi lain yang serius. Antaranya ialah preeklampsia, pembekuan darah di kaki (deep vein thrombosis), pembekuan darah di paru-paru (pulmonary embolism), pertumbuhan janin yang terbantut, kelahiran pramatang, kematian bayi dalam kandungan, malah meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.

Berita baiknya, diagnosis APS bukan bermakna impian untuk menimang cahaya mata sudah tertutup.

Dengan pengesanan awal dan rawatan yang betul, peluang untuk hamil serta melahirkan bayi yang sihat masih tinggi.

Menurut Dr Nor Idayu, wanita yang disahkan menghidap APSperlu mendapatkan rawatan awal daripada pakar obstetrik dan, jika perlu, pakar hematologi bagi mengurangkan risiko komplikasi.

Rawatan lazim melibatkan kombinasi aspirin dos rendah dan suntikan Low Molecular Weight Heparin (LMWH) seperti enoxaparin. Ubat-ubatan ini membantu mengurangkan pembekuan darah dan dianggap selamat digunakan sepanjang kehamilan apabila dipantau oleh doktor.

Walaupun APStidak boleh disembuhkan sepenuhnya, penyakit ini boleh dikawal dengan rawatan moden. Bagi sesetengah pesakit, pengambilan ubat antikoagulan seperti aspirin atau warfarin mungkin diperlukan untuk jangka panjang, bergantung kepada tahap risiko masing-masing.

Sumber gambar:PEXELS

Pada masa sama, mengamalkan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras kolesterol dan berat badan turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan komplikasi.

Wanita yang sedang merancang kehamilan juga tidak boleh mengabaikan tanda amaran seperti bengkak dan sakit pada sebelah kaki, sesak nafas secara tiba-tiba atau sakit kepala yang berlarutan, terutama jika mempunyai sejarah keguguran berulang. Keadaan itu mungkin menandakan pembekuan darah yang memerlukan rawatan kecemasan.

“Ramai wanita masih tidak mengetahui tentang APS kerana simptomnya tidak spesifik. Jika pernah mengalami keguguran berulang, jangan tunggu sehingga ia berlaku lagi.

“Dapatkan pemeriksaan awal dengan pakar obstetrik supaya punca sebenar dapat dikenal pasti dan rawatan yang sesuai boleh dimulakan,” katanya.