'Saya suruh mak ayah berhenti kerja, takkan nak mengalah...' – Daripada dapur ke pentas, Mila Jirin buktikan impian tiada tarikh luput

Iklan

DULU namanya dikenali sebagai salah seorang penyanyi berbakat yang mencuri perhatian menerusi pentas realiti, kini Mila Jirin lebih sinonim sebagai usahawan berjaya yang membina empayar sendiri.

Namun, jauh di sudut hati wanita kecil molek itu, dunia nyanyian tidak pernah benar-benar ditinggalkan.

Iklan
Iklan

Selepas hampir dua dekad memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan, Mila akhirnya membuka semula lembaran baharu apabila kembali bergelar penyanyi dengan sebuah album penuh.

Bagi Mila, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hadir pada waktu yang dirasakan paling tepat selepas mendapat sokongan insan paling penting dalam hidupnya, suami serta ibu bapanya.

Iklan

“Sebenarnya yang banyak-banyak beri encouragement adalah mak dan ayah saya. Dulu ayah pernah cakap, kalau kita tak boleh menyanyi sekarang pun tak apa. Menyanyi itu sampai tua kalau ALLAH masih bagi bakat.

“Jalankan dulu apa yang ALLAH bagi pada kita sekarang. Bila sampai masa yang sesuai, kita kembali. Alhamdulillah, masa itu sudah sampai,” katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Iklan

Pengasas Bizmilla Wedding Hall itu turut mengakui, perjalanan untuk kembali ke dunia muzik bukan sesuatu yang mudah kerana pada awalnya suaminya agak keberatan membenarkan dia kembali aktif menyanyi.

Menurutnya, kebimbangan suami lebih kepada soal masa dan keluarga, terutama kerana mereka pernah melalui fasa dirinya terlalu sibuk dengan aktiviti seni suatu ketika dahulu.

“Suami saya mula-mula tak berapa nak izinkan sebab dia kata kita fokus kepada benda yang kita sedang buat sekarang. Dia tanya, adakah masa saya nanti cukup? Boleh ke bahagikan masa?

“Tapi mungkin sebab dia nampak, setiap kali saya pergi event, orang akan tanya, ‘tak ada lagu baharu ke?’ Bila saya menyanyi pula, lagu yang sudah terlalu lama dan tak sesuai dengan majlis perkahwinan,” ujarnya.

Tidak menyangka hanya meminta sebuah lagu baharu, Mila menerima kejutan apabila suaminya menghadiahkan sebuah album penuh untuknya.

Katanya, suaminya sendiri mengambil tanggungjawab menghasilkan album berkenaan termasuk mengeluarkan dana bagi merealisasikan impian tersebut.

“Saya selalu cakap dengan suami, boleh tak buat satu single? Tapi akhirnya dia kata, ‘right timing nanti kita buat’. Bila sampai masa, Masya-ALLAH, sangat menyentuh hati.

“Sebab album ini memang dia yang keluarkan. Dia yang produce, dia yang keluarkan fund dulu. Kita minta satu lagu sahaja, alih-alih dia bagi satu album.

“Dia cuma cakap, ‘tak apa, you nyanyi je’. Alhamdulillah, saya pun tak tahu berapa banyak yang dia belanjakan untuk album ini,” katanya sambil tersenyum.

Bagi pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin, kemunculan semula dalam industri muzik bukan sekadar mahu mengejar populariti, tetapi satu cara untuk memperkenalkan dirinya kepada generasi baharu yang mungkin tidak mengenali dirinya sebagai penyanyi.

Malah, pengalaman bertemu pelanggan ketika menguruskan perniagaan membuatkan Mila sedar ramai golongan muda kini tidak mengetahui sejarah seninya.

“Pernah satu kali jumpa klien, anak dia kenal mak dia kenal saya. Kemudian anak dia tanya, ‘siapa tu?’ Comel sebenarnya, tapi waktu itu saya terfikir, generasi muda sekarang memang ramai yang tak kenal saya.

“Jadi album ini salah satu cara untuk saya beritahu kepada generasi baharu, ‘Hello, saya sebenarnya seorang penyanyi’,” kata wanita berusia 39 tahun itu lagi.

Namun, sebelum kembali berdiri di pentas, Mila terlebih dahulu melalui fasa panjang sebagai seorang usahawan yang membina perniagaan dari bawah.

Meninggalkan dunia glamour

Selepas berkahwin, dia memilih untuk memperlahankan aktiviti seni demi memberi fokus kepada keluarga dan membantu membangunkan perniagaan bersama suami.

Juara Akademi Fantasia musim lima (AF5) itu masih mengingati detik sukar ketika terpaksa meninggalkan dunia glamor seorang artis untuk bermula dari bawah.

“Waktu itu saya masih muda, baru 19 tahun dan saya sangat yakin dengan keputusan sendiri. Saya yang suruh mak ayah berhenti kerja. Jadi bila saya sudah buat keputusan itu, takkan saya nak mengalah.

“Kita bukan lahir-lahir terus dalam dulang emas. Ada proses yang perlu dilalui. Saya pernah masak di belakang, cuci pinggan, masak dari rumah. Sampai ada orang pernah label saya macam bibik,” katanya

.

Walaupun pernah berasa sedih melihat rakan-rakan artis terus bersinar dalam industri hiburan, Mila kini melihat semua pengalaman itu sebagai aturan terbaik daripada ALLAH.

Katanya, ada satu ketika dia pernah mempersoalkan perjalanan hidupnya apabila melihat dirinya jauh berbeza daripada rakan-rakan seperjuangan.

“Pernah satu masa saya tengok kawan-kawan yang sama-sama masuk pertandingan dengan saya berada di pentas, cantik dan bergemerlapan. Tapi waktu itu saya di dapur, comot dengan senduk dan periuk.

“Saya pernah tanya diri sendiri, ‘aku nak jadi penyanyi, tapi kenapa aku berakhir macam ini?’ Tapi sekarang saya faham, kita tak perlu persoalkan apa yang ALLAH sudah susun.

“Rupanya proses itu yang membentuk saya hari ini,” katanya.

Selepas hampir 18 tahun tidak mengeluarkan karya baharu, Mila melihat album terbaharunya sebagai satu ruang untuk dia kembali menikmati perkara yang menjadi sebahagian daripada dirinya sejak dahulu.

Menurutnya, muzik bukan sekadar kerjaya, tetapi satu cara untuk dia melepaskan tekanan selepas menguruskan perniagaan yang mempunyai hampir 200 pekerja.

“Pada saya, bukan sebab saya seorang usahawan atau penyanyi. Nyanyian itu memang sudah jadi darah daging saya.

“Di rumah pun suami buatkan studio kecil untuk saya menyanyi. Itu ruang untuk saya reset diri selepas sibuk fikir tentang perniagaan dan pasukan.

“Jadi, bukan istilah main-main, tetapi saya cuma mahu kembali kepada sesuatu yang saya memang sayang sejak daripada dahulu lagi,” katanya.

Kecaman di media sosial

Dalam pada itu, Mila turut berkongsi mengenai pendiriannya dalam menggunakan media sosial, terutama berkaitan perkongsian kehidupan keluarga.

Katanya, dia lebih selesa menjaga privasi anak dan keluarga kerana tidak mahu berkongsi terlalu banyak perkara kepada umum.

“Saya jarang kongsi tentang anak dan keluarga kerana itu soal privasi. Pesanan suami pun sama, kita tidak tahu siapa yang suka atau tidak suka dengan kita.

“Walaupun saya tidak aktif dalam industri, saya masih pernah menerima kecaman di media sosial. Tapi saya jenis yang tidak membaca perkara begitu kerana saya perlu menjaga emosi.

“Saya perlu memimpin pasukan hampir 200 orang. Kalau emosi saya tidak stabil, nanti ia memberi kesan kepada orang lain,” katanya.

Menyentuh mengenai trend sesetengah selebriti yang sering berkongsi kehidupan keluarga di media sosial, Mila menghormati pilihan masing-masing namun mengakui dirinya bukan dalam kategori tersebut.

Baginya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk membina hubungan dengan peminat.

“Mungkin mereka ada sebab tersendiri. Sekarang media sosial sudah menggantikan televisyen, jadi semua orang mahu dapatkan perhatian.

“Tapi saya bukan orang yang pandai buat begitu. Saya dibesarkan dalam zaman ketika artis sangat menjaga batas. Selepas keluar daripada Akademi Fantasia pun, kami memang dijaga.

“Tak ada istilah lepak sana sini. Pergi kerja, balik kerja. Sampai sekarang pun saya masih begitu,” katanya.