'Ingat saya tak stres, tiada ujian?' - Alif Satar elak merungut, pilih imbang karier seni, keluarga & Geng Subuh Macam Jumaat

Iklan

SIAPA sangka di sebalik figura yang sentiasa bertenaga dan ceria, Alif Satar kini melalui satu fasa kehidupan yang lebih matang, tenang dan penuh makna.

Bukan sekadar mengejar populariti dalam dunia seni, penyanyi, pengacara dan pelakon itu kini menggalas pelbagai tanggungjawab sebagai anak seni, suami, bapa kepada empat cahaya mata serta penggerak komuniti.

Iklan
Iklan

Bagi Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, setiap peluang yang hadir dalam hidupnya ketika ini adalah satu bentuk rezeki yang perlu disyukuri, bukannya beban untuk dikeluhkan.

Katanya, dia kini lebih memilih untuk menikmati setiap perjalanan yang dilalui dengan hati terbuka.

Iklan

“Alhamdulillah, dalam fasa hidup sekarang ini saya tak nak banyak rungutan. Apa yang datang saya terbuka dan ambil sahaja.

Iklan

“Mungkin ini rezeki yang ALLAH beri. Saya masih lagi dalam dunia hiburan tetapi dalam sisi yang berbeza,” katanya kepada SinarPlus.

Dalam perkembangan seni, Alif Satar muncul menyanyikan lagu tema bertajuk"Inikah Cinta" bersama kumpulannya, Alif Satar & The Locos, untuk filem komedi romantik Mojoku Hilang yang ditayangkan pada 23 Julai 2026 yang kini menerima reaksi positif di media sosial.

Kongsinya, filem tersebut menyaksikan kemunculan pertamanya sebagai cameo mendapat sambutan baik daripada penonton.

Menurutnya, peluang bekerjasama dengan barisan pelakon tempatan termasuk Mimi Lana serta pelakon dari Indonesia menjadi pengalaman yang cukup bermakna.

Geng Subuh Macam Jumaat

Di sebalik kesibukan memenuhi jadual kerja sebagai duta jenama yang memerlukan dirinya bergerak ke seluruh negara, Alif turut menggunakan peluang tersebut untuk mendekati masyarakat menerusi inisiatif Geng Subuh Macam Jumaat.

Gerakan yang dimulakan sejak tiga tahun lalu itu kini semakin berkembang apabila masjid-masjid di seluruh negara mula menganjurkannya secara kendiri.

Bagi Alif, usaha tersebut bukan untuk mencari perhatian, sebaliknya menjadi ruang untuk mengajak khususnya golongan muda mendekati masjid melalui aktiviti yang lebih santai dan positif.

“Saya rasa kalau bukan kerana dunia hiburan, mungkin saya tidak menjadi jambatan untuk membawa orang ramai kepada Geng Subuh Macam Jumaat.

“Setiap kali kita buat, ramai anak muda datang bersama. Rakan-rakan niaga juga turut menyokong dan bagi saya itu sangat bermakna,” katanya.

Meskipun terpaksa melepaskan beberapa tawaran program televisyen kerana kekangan masa, Alif tetap aktif dengan projek baharu termasuk rancangan Junior Innovation di RTM yang bakal memasuki musim kedua September ini.

Program yang mencungkil idea kreatif dan inovasi dalam kalangan kanak-kanak itu memberikan pengalaman berbeza buat Alif berbanding penglibatannya dalam rancangan hiburan sebelum ini.

“Dulu bila buat program kanak-kanak, saya buat hiburan dan menyanyi. Tetapi sekarang saya terlibat dengan program yang lebih besar bersama anak-anak kecil yang mempunyai idea penuh inovatif,” katanya.

Ditanya sama ada perubahan fokus itu bermaksud dirinya sedang mengurangkan penglibatan dalam industri hiburan, Alif menegaskan perkara tersebut tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Baginya, seni tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang akan diteruskan selagi ada peluang.

“Saya tak pernah fikir ini fasa seterusnya atau nak berhenti. Ada hari saya masih buat persembahan dan baru sahaja keluar lagu.

“Kerjaya seni tetap berjalan seperti biasa,” katanya.

Simbolik nama anak

Menyentuh mengenai cabaran kehidupan dan isu tekanan mental dalam kalangan anak muda, Alif mengingatkan orang ramai supaya belajar menguruskan dugaan dengan tenang.

Menurutnya, aktiviti positif seperti Geng Subuh Macam Jumaat boleh menjadi salah satu ruang untuk anak muda melepaskan tekanan dan mencari ketenangan.

“Saya tahu dunia ini keras. Setiap orang ada cabaran dan dugaan. Pada yang sedang melihat, relaks dan jangan stres.

"Ingat saya tak ada stres, tak ada ujian? Ini hidup kita, jadi kena lalui dengan tenang. Kalau agak nak lepaskan stres, mari datang lepak masjid, tidur masjid. Saya yakin banyak perkara boleh diselesaikan apabila hati lebih tenang,” katanya.

Dalam kesibukan kerjaya, kebahagiaan Alif turut dilengkapi dengan kehadiran cahaya mata keempat, Aleyya Fajr yang kini berusia empat bulan.

Nama yang dipilih sempena waktu Subuh itu menjadi simbolik buat keluarga mereka. Menurut Alif, bayi kecil tersebut seorang yang ceria dan sering menceriakan suasana rumah.

“Anak nombor empat baru lahir dan baru diumumkan empat bulan. Dia sangat happy baby, suka gelak-gelak.

“Alhamdulillah anak-anak semua gembira, keluarga pun semakin berkembang dan saya rasa sangat bersyukur,” katanya.

Alif berkata demikian ditemu bual SinarPlus secara eksklusif  dalam majlis pengumuman Alif sebagai Duta Jenama GB Gold untuk tahun ketiga berturut-turut.