AKTOR Jehan Miskin berkongsi rasa bangga apabila anak tunggalnya Axel Nova yang kini berusia lima tahun meraih anugerah Creative Young Artist Award.
Berkongsi momen berharga di laman Instagram sempena majlis graduasi anaknya, Axel Nova yang kini berusia lima tahun, Jehan tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila bakat si cilik itu mendapat pengiktirafan pihak sekolah menerusi anugerah tersebut.
"Sesiapa yang kenal Axel mesti tahu dia memang sentiasa melukis, buat kraf dan hasilkan karya seni.
"Majlis graduasi kali ini rasa sangat bermakna bila sekolah hargai bakat dia dengan anugerah ini," luah Jehan penuh rasa syukur.
Menyedari peralihan Axel dari anak kecil ke fasa sekolah rendah, pelakon filem Qaisy & Laila itu meluahkan rasa syukur proses itu berjalan dengan baik.
"Terima kasih banyak kepada guru-guru yang sangat penyayang dan prihatin. Bab membimbing Axel ini memang mereka cukup sabar, sampai buatkan proses transisi dia kepada 'big boy' jadi sangat mudah dan lancar," luahnya.
Pencapaian manis itu juga menandakan pendidikan awal Axel bakal berakhir sebelum si kecil itu melangkah ke fasa sekolah rendah tidak lama lagi.
"Sekarang masa untuk lebih banyak pengembaraan dan penerokaan sebelum babak seterusnya bermula Tahun Satu," kongsinya.
Sekadar info, Jehan atau nama penuhnya Mohamad Jehan Miskin, 49, mendirikan rumah tangga bersama wanita Korea yang juga seorang guru yoga, Julie Camelia Rhee Abdullah pada Mei 2013.
Jehan kini mengusahakan syarikat produksi, Mastermind Group yang memberi fokus kepada kerja-kerja di belakang tabir sejak 2009.