SELEPAS melalui fasa getir, pelakon Linda Hashim kini membuka lembaran baharu apabila bakal bergelar mutawifah bermula tahun hadapan.
Berkongsi perkembangan itu, Linda berkata, dia sedang mengikuti kursus dan memperlengkapkan ilmu sebelum memikul amanah membimbing jemaah menunaikan ibadah umrah.
Memetik laporan Harian Metro, pemilik nama Norhazlinda Hashim, 42, itu akan menjadi pembimbing umrah wanita bermula tahun hadapan.
"Insya-ALLAH saya akan membimbing jemaah untuk ke umrah. Saya akan bergelar mutawif wanita atau mutawifah lepas ini.
"Saya sangat-sangat baru dalam bidang mutawifah ini, masih lagi ada kursus dan masih lagi belajar. Insya-ALLAH tahun depan ia akan bermula. Doakan semoga saya berjaya dalam bidang baru ini,” katanya.
Pelakon Tanda Putera dan Syaitan Munafik itu turut berkongsi perancangannya dalam bidang lakonan dan akan memilih naskhah yang memberi kebaikan kepada audiens.
“Cerita yang saya rasa mendatangkan manfaat pada penonton, saya takkan lepaskan peluang untuk berlakon.
"Tapi kalau kata cerita itu tidak mendatangkan apa-apa kesan pada penonton, mungkin saya tak buatlah.
“Sebab sekarang ini apa yang kita buat semua kita nak kena fikir, kita ini ada pengikut. Jadi nak kena fikir bila orang tengok kita, nak orang tengok yang elok-elok saja.
"Yang sejuk mata memandang, yang baik-baik sajalah. Tak nak tunjuk benda yang tidak baik,” katanya.
Linda terdahulu sah bercerai talak tiga dengan aktor Beego selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga.
Mereka memiliki tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 12, Anggun Cassandra, 11, dan Indah Camelia, 7 tahun.
Sumber: Harian Metro