PERKENALAN menerusi laman Instagram akhirnya membawa pasangan ini ke jenjang pelamin. Penyanyi dan komposer lagu Tamil terkenal, Zubir Khan, selamat disatukan dengan wanita pilihan hatinya, Dr Heama Maleini Balasubramaniam, pada petang Jumaat.
Zubir, atau nama penuhnya Muhammad Zubir Mohamad Ali, sah bergelar suami kepada Dr Heama dengan hanya sekali lafaz.
Dalam majlis tersebut, pelantun lagu OMK (Oh My Kadhale) itu menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 kepada pengantin perempuan.
Kedua-dua mempelai tampil anggun dan segak dalam busana tradisional masyarakat India. Zubir mengenakan persalinan sherwani yang dilengkapi selendang dupatta, manakala Heama kelihatan cukup mempesonakan dalam busana sari berwarna merah.
Selesai acara ijab dan kabul, majlis diteruskan dengan upacara menyarungkan cincin ke jari pengantin perempuan serta penyerahan dulang berisi barang kemas.
Untuk rekod, Zubir dan Dr Heama telah terlebih dahulu mengikat tali pertunangan pada April yang lalu.