BAGI pencinta makanan pedas, ayam gepuk sememangnya antara hidangan yang sukar ditolak.
Namun, bagaimana pula jika keenakan ayam gepuk digandingkan dengan aneka ulam segar yang menambah rasa, tekstur dan nilai pemakanan dalam setiap suapan?
Gabungan itu kini menjadi tarikan baharu di tengah ibu kota menerusi pembukaan Ayam Gepuk 57 baru-baru ini.
Diasaskan oleh usahawan makanan, Mohammad Assraf Maidin Koty, restoran berkenaan tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengetengahkan konsep ayam gepuk premium yang disajikan bersama lapan jenis ulam segar, sekali gus menawarkan pengalaman menjamu selera yang bukan sekadar mengenyangkan, malah lebih seimbang.
Menurut Assraf, idea tersebut tercetus apabila dia melihat sambutan luar biasa masyarakat terhadap menu ayam gepuk yang kini menjadi antara pilihan utama rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.
"Menu ini kini mencatatkan permintaan yang tinggi, sedang menjadi tren dan telah menjadi makanan harian rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama," katanya.
Jika kebanyakan restoran hanya menumpukan kepada ayam yang rangup dan sambal yang pedas, premis ini pula membawa kelainan dengan menjadikan ulam sebagai pelengkap utama hidangan.
Setiap set disertakan lapan jenis ulam seperti petai, kacang panjang, terung, tomato dan pelbagai pilihan lain yang memberikan rasa lebih segar dalam setiap suapan.
Bagi Assraf, konsep itu bukan sekadar mahu tampil berbeza, sebaliknya memberi pilihan kepada pelanggan yang mengutamakan keseimbangan antara rasa dan pemakanan.
"Kami menawarkan menu istimewa iaitu ayam gepuk yang dimakan bersama ulam-ulaman. Lapan jenis ulam disediakan untuk setiap set hidangan antaranya petai, kacang panjang, terung, tomato dan lain-lain," ujarnya.
Selain mengangkat konsep makanan yang lebih sihat menerusi hidangan ulam, restoran tersebut turut mengekalkan elemen yang menjadi kegemaran ramai iaitu ayam berkualiti premium, sambal berperisa 'padu', servis pantas dan harga yang mesra poket.
Di tanya simbolik di sebalik nama Ayam Gepuk 57 pula, rupa-rupanya tersimpan kisah peribadi pengasasnya.
"Nombor itu dipilih kerana mudah diingati selain mempunyai nilai sentimental buat saya. Ia merujuk kepada tarikh lahir saya pada 5 Julai 1993 dan kedudukan sebagai anak kelima daripada tujuh beradik.
"Bukan itu sahaja, nombor tersebut juga membawa tuah dalam perjalanan perniagaan saya," kongsinya lagi.
Menurut Assraf, pembukaan restoran berkenaan bukan sahaja bagi memenuhi permintaan pelanggan terhadap menu ayam gepuk, malah menjadi langkah untuk memperkukuhkan portfolio perniagaan syarikat.
"Idea penubuhan Ayam Gepuk 57 adalah untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan, menambah bilangan jenama serta meluaskan pasaran syarikat," katanya yang sambil memberitahu sebuah lagi cawangan premis berkenaan terletak di Seksyen 23, Shah Alam.
Untuk rekod, Ayam Gepuk 57 merupakan jenama terbaharu di bawah AMK Group Sdn Bhd yang sebelum ini turut mengusahakan beberapa jenama makanan lain seperti Warong Maa Abah, Daporchelah, Westplate Factory dan The John AMK.
Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, Assraf menyasarkan pembukaan lebih banyak cawangan di seluruh negara.
Dengan gabungan ayam gepuk premium, sambal yang membangkitkan selera serta keunikan menikmati hidangan bersama ulam segar, Ayam Gepuk 57 berpotensi menjadi antara destinasi makan baharu yang wajib disinggah, khususnya buat penggemar makanan pedas yang ingin menikmati kelainan dalam setiap hidangan.