SETAHUN menjalani kehidupan secara sendirian, pelakon dan model Zahnita Wilson mengakui hatinya kini sudah dimiliki.
Dalam sebuah video portal berita tempatan, pelakon Gila-Gila Pengantin Remaja itu mendedahkan sudah mengikat tali pertunangan selepas beberapa bulan berkenalan.
Enggan mendedahkan indentiti lelaki yang berjaya mencuri hatinya, model popular era 2000-an itu juga mengiyakan bahawa sedang meniti fasa bahagia bersama lelaki berstatus duda itu.
"Saya sedang keluar dengan seseorang yang dah luahkan perasaannya. Ya, saya memang tengah rapat dengan seseorang sekarang," kongsinya.
Dalam pada itu, Zahnita juga menjawab isu penyerahan hak penjagaan empat cahaya matanya kepada bekas suami yang didakwa dilakukan dengan kerelaan hati.
Jelas pemilik perusahaan Humble Pie itu, keputusan itu dibuat kerana dia percaya permata hatinya akan menerima penjagaan yang lebih baik.
"Semestinya saya rindukan mereka (anak-anak)," kongsinya.
Mendedahkan hidup membosankan tanpa anak-anak, Zahnita mendedahkan perusahaan pastrinya masih berjalan.
"Sebulan sekali paling kurang saya akan jumpa mereka kerana mereka duduk jauh di Kuantan.
"Sebenarnya saya rasa makin bosan.
"Perniagaan masih berjalan biasa, tapi dari rumah sahaja. Saya sudah berundur daripada kedai roti tu.
"Cuma nak santai-santai sahaja. Tenang. Bukannya senang nak jaga perniagaan, tambah pula dengan segala drama lain. Jadi sekarang, sekarang memang masa untuk saya menikmati hidup saya," kongsinya.
Terdahulu, bekas suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor membuat pendedahan kepada umum tentang hak penjagaan anak mereka bagi mengelakkan salah faham.
Mereka yang berkahwin pada 2005 telah berpisah secara rasmi pada Ogos 2025.
Dua dekad berkongsi hidup, Zahnita dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 19, Zasharayna Ghouse, 14, Zahlia Syawwal, 9, dan Abd Zayden Ghouse, 5.
Sumber: Instagram