JURUVIDEO dan sukarelawan terkenal, Haroqs berkongsi momen manis menerima Anugerah Tokoh Siswa Universiti Perguruan Sultan Idris (Penghargaan Khas Naib Canselor) baru-baru ini.
Pemilik nama Muhammad Hareez Adzrami itu memuat naik pencapaian bermakna yang melengkapkan lipatan sejarah peribadinya selepas pernah dinobatkan sebagai Tokoh Murid dan Tokoh Sukan Sekolah pada tahun 2017.
Biarpun sudah banyak meraih anugerah, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) berasa terpanggil untuk berkongsi momen itu demi generasi muda.
"Sejujurnya, setiap kali saya terima anugerah, ada rasa segan dalam diri. Ada beberapa penghargaan yang saya terima sebelum ini, tetapi saya pilih untuk tidak tunjuk. Bukan kerana tidak menghargai, tetapi kerana jauh di sudut hati, aku selalu rasa macam belum cukup layak untuk diraikan.
"Tapi hari ini aku pilih untuk berkongsi. Bukan sebab nak menunjuk, jauh sekali untuk berasa lebih tinggi daripada sesiapa. Tetapi aku sedar, mungkin 20 peratus daripada followers aku hari ini masih berada di bangku sekolah, universiti, atau sedang berjuang mengejar pendidikan," titipnya.
Peserta Sumud Flotilla itu berharap perkongsian tersebut mampu membuatkan pengikutnya percaya bahawa pendidikan itu penting.
"Kejarlah ilmu, walau sejauh mana pun hidup telah membawa kita. Jangan pernah merasa kita sudah terlalu hebat untuk belajar kerana sebelum kita tahu membaca, ada yang mengajar kita mengenal huruf.
"Sebelum kita tahu berjalan, ada tangan yang memimpin kita dan sebelum dunia mengenali siapa kita hari ini, ada insan-insan yang terlebih dahulu percaya kepada kita ketika kita masih bukan siapa-siapa.
"Jangan pernah lupa dari mana kita bermula. Apabila dunia mula mengenali nama kita, jangan sesekali lupa bahawa suatu ketika dahulu, kita juga seorang manusia yang tidak tahu apa-apa.
"Ilmu mengajar kita untuk melangkah. Kejayaan membawa kita ke hadapan. Tetapi kerendahan hati mengingatkan kita jalan untuk pulang," titipnya.
Haroqs terdahulu menyertai misi pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke G4z4 sebagai antara peserta termuda daripada 34 sukarelawan Malaysia.