PEJAM celik anak bongsu penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissudin, Ayash Affan genap lima tahun usia.
Menerusi hantaran laman sosial Allahyarham yang masih dikendali pentadbir, satu hantaran khas buat Ayash sempena ulang tahun kelima menyentuh hati warganet.
Video memaparkan momen kelahiran dan tumbesaran anak kecil itu mengembalikan nostalgia para peminat kepada arwah ibunya.
"Selamat hari lahir yang kelima Ayash Affan. Pejam celik, cepat betul masa berlalu. Rasanya baru semalam seluruh rakyat Malaysia menanti dengan penuh debaran, doa, dan air mata saat mendengar perkhabaran tentang kelahiran bayi pramatang ini pada tahun 2021 dahulu.
"Semoga Ayash terus membesar dengan sihat, menjadi anak soleh kebanggaan keluarga. Teruslah melangkah kuat, sayang.
"Terima kasih nenek johor yang telah menjaga Ayash hingga ke hari ini. Al-Fatihah buat arwah Ibu Siti Sarah Raissuddin," titipnya.
Warganet turut melepaskan rindu dan membanjiri ruangan komen dengan ucapan serta doa yang menyentuh hati buat anak bongsu Allahyarham.
"Happy birthday Ayash. Awak tahu tak, satu Malaysia doakan awak? Dan, awak tahu tak, ibu awak sangat hebat? Al-Fatihah untuk Siti Sarah."
"Masa Ayash lahir, satu Malaysia tengok betapa besarnya kuasa ALLAH saat ibu melahirkan Ayash. Semoga membesar menjadi anak yang soleh, bijak, dan pandai ya nak."
"Happy birthday Ayash Affan, semoga jadi anak yang soleh. Amin. Al-Fatihah untuk arwah Siti Sarah."
"Happy birthday Ayash Affan. Teringat lima tahun dulu, beberapa hari kita tak tidur malam tunggu berita arwah mama awak. Semoga membesar menjadi anak yang hebat."
Imbas kembali, Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM selepas tahap oksigen menurun setelah dijangkiti virus Covid-19 pada 27 Julai 2021.
Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan Ayash dari dalam kandungan.
Sejak itu, keadaan Sarah mula merosot dan baik seketika sebelum doktor memaklumkan paras oksigen dalam badan penyanyi itu berkurangan kepada 40 peratus pada malam Ahad 8 Ogos 2021.
Setelah 65 jam bertarung nyawa, Sarah yang ketika itu berusia 37 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos 2021.
Sumber: Instagram