'Anak-anak faham apa yang berlaku' - Syida Melvin dedah lima bulan tidak sebumbung dengan suami, pilih pulang ke kampung

Iklan

PELAKON dan usahawan, Syida Melvin atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin, kini melalui fasa kehidupan yang penuh cabaran apabila perlu menyesuaikan diri dengan perubahan besar selepas tidak lagi tinggal sebumbung bersama suami, Syafiq Azim.

Daripada tinggal di rumah yang dibina bersama, kini Syida memilih pulang ke kampung bersama tiga anaknya demi mencari ruang yang lebih tenang sepanjang melalui kemelut rumah tangga.

Iklan
Iklan

Lima bulan bukan tempoh yang singkat untuk seorang ibu mengubah seluruh rutin kehidupan. Namun, bagi Syida, keputusan itu perlu diambil selepas mempertimbangkan keadaan emosi serta kebajikan anak-anak yang turut terkesan dengan perubahan tersebut.

Walaupun berdepan proses perceraian yang masih berjalan, ibu kepada tiga cahaya mata itu tetap berusaha memastikan kehidupan anak-anaknya terus teratur, termasuk urusan persekolahan yang berubah susulan perpindahan tempat tinggal.

Iklan

Syida mendedahkan, keputusan untuk meninggalkan rumah kelamin mereka di Shah Alam bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas merasakan ia adalah pilihan terbaik untuk menjaga kesejahteraan dirinya.

Iklan

“Bila saya failkan perceraian, saya rasa kalau terus tinggal di bawah satu bumbung, saya akan mengalami tekanan emosi yang melampau.

“Sebab itu saya ambil langkah untuk keluar daripada rumah tersebut,” katanya dalam satu perkongsian bersama OhBulan!.

Tambahnya, dia dan Syafiq sudah tidak lagi tinggal bersama sejak Aidilfitri lalu, menjadikan tempoh mereka berjauhan hampir lima bulan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, dia memilih menetap di kampung bersama tiga anak mereka, manakala Syafiq masih tinggal di rumah kelamin yang pernah menjadi kediaman bersama.

“Hubungan dengan Syafiq, kami sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak raya hari itu dan sudah lima bulan tidak duduk bersama.

“Saya dan anak-anak duduk di kampung, dia pula duduk di rumah kelamin kami. Rumah itu atas nama saya dan dia tinggal berseorangan di sana,” kongsinya.

Menurut Syida, rumah tersebut merupakan tempat mereka membina kehidupan sebagai suami isteri sebelum ini.

Namun, selepas memfailkan perceraian, dia merasakan keluar dari kediaman berkenaan adalah keputusan terbaik bagi mengelakkan tekanan emosi yang berpanjangan.

Katanya, sehingga kini masih belum ada penyelesaian yang membolehkan dia dan anak-anak kembali menetap di rumah tersebut.

“Apabila sudah lama dan sekarang sudah memasuki bulan Ogos, masih tiada ruang untuk anak-anak duduk di situ bersama saya.

“Jadi sebab itulah saya terpaksa keluar daripada rumah dan ada beberapa isu yang masih belum selesai sehingga sekarang,” katanya.

PERUBAHAN TEMPAT TINGGAL

Dalam pada itu, Syida berharap segala urusan berkaitan rumah tangganya dapat diselesaikan dengan baik supaya anak-anaknya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Katanya, perubahan tempat tinggal turut memberi kesan terhadap rutin harian anak-anak terutama berkaitan persekolahan.

“Sepatutnya saya dan anak-anak duduk di situ sebab mereka bersekolah.

“Bila jadi begini, saya terpaksa pulang ke kampung kerana tidak ada tempat tinggal dan anak-anak pun terpaksa berpindah sekolah,” dedahnya.

Tambah Syida, dia sudah cuba mendapatkan sekolah baharu untuk anak-anak di Penang, namun permohonan itu tidak berjaya kerana sesi persekolahan sudah hampir berakhir.

“Saya mohon sekolah di Penang, tetapi tiada sekolah yang mahu menerima kerana sudah hujung tahun.

“Kesianlah dekat anak-anak sebab mereka tiba-tiba tidak dapat pergi sekolah seperti biasa,” ungkapnya.

Bagi Syida, perkara paling penting ketika ini adalah memastikan segala urusan dapat diselesaikan dengan baik agar anak-anaknya dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

“Saya harap selepas selesai jatuh talak, pihak sana dapat fikirkan sedikit supaya anak-anak boleh duduk rumah macam biasa balik dan bersekolah di Shah Alam seperti biasa.

“Anak-anak tahu, walaupun mereka baru berusia lima dan enam tahun, mereka faham,” katanya.

Berkongsi perkembangan kes penceraian anak guamnya, peguam yang mewakili Syida, Nurul Jamaliah memaklumkan proses lafaz cerai pasangan itu ditangguhkan kepada 12 Ogos berikutan plaintif berada dalam keadaan tidak suci.

Sebelum ini, Syida dilaporkan telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Syafiq Azim di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, Syida mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 37, pada 19 Januari 2019.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa.

MASALAH HUTANG SYARIKAT

Selain kemelut rumah tangga, Syida turut berdepan isu berkaitan syarikat yang pernah diusahakan bersama suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen.

Menurutnya, perkara itu masih belum menemui penyelesaian dan kini diserahkan kepada peguam sivil selepas beberapa usaha untuk mencapai kata sepakat tidak membuahkan hasil.

“Sebenarnya isu itu belum diselesaikan, cuma saya menyerahkan kepada peguam sivil untuk berbincang dengan dia (suami).

“Saya sudah beri peluang untuk selesaikan perkara ini dengan baik tetapi dia enggan melunaskan hutang-hutang syarikat atas nama saya kerana kami ada syarikat bersama,” ungkap wanita berusia 29 tahun itu lagi.

Malah, sehingga kini dia masih belum memperoleh haknya berkaitan perkara tersebut dan isu melibatkan masalah serta hutang syarikat masih tergantung.

Justeru, Syida berharap segala urusan berkaitan perniagaan yang pernah dibina bersama dapat ditamatkan dengan cara terbaik.

“Saya rasa cukup sampai sini saja. Kemelut rumah tangga kami mungkin selesai selepas ini, sudah tiada apa-apa ikatan.

“Syarikat bersama itu juga saya harap sampai di sini saja kerana masalah-masalah sebelum ini masih belum dapat diselesaikan,” katanya.

Menurut Syida, segala urusan berkaitan syarikat itu kini akan diteruskan melalui saluran undang-undang selepas perbincangan yang dibuat sejak Mei hingga Ogos masih belum membawa kepada sebarang tindakan.

Sekadar makluman, Syafiq Azim merupakan anak kepada tokoh usahawan negara, Allahyarham Datuk Dr Maznah Hamid.