Diiktiraf pasangan pertama bekas ketua kerajaan masih hidup di Asia, ketahui 6 amalan gaya hidup sihat Tun M & Tun Dr Hasmah 

Iklan

PASANGAN negarawan dan ikon inspirasi negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Hasmah Mohd Ali sekali lagi mencuri tumpuan selepas menerima tiga pengiktirafan sekali gus ditempa dalam sejarah rantau ini. 

Sijil pengiktirafan bersejarah itu dikurniakan oleh pihak ASEAN Records dan ASIA Records dalam satu majlis penuh bermakna yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.  

Iklan
Iklan

Tun Dr Mahathir yang kini berusia 101 tahun telah diiktiraf di bawah ASEAN Records sebagai Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup. Pada masa yang sama, Tun Dr Hasmah yang genap berusia 100 tahun turut menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai Isteri Bekas Perdana Menteri Tertua yang Masih Hidup. 

Iklan

Lebih membanggakan, pasangan kesayangan ramai ini turut melakar sejarah di peringkat benua menerusi pengiktirafan ASIA Records. Mereka juga dianugerahkan kepada kedua-duanya oleh Asia Records ialah Bekas Ketua Kerajaan dan Pasangan Pertama yang kedua-duanya menjadi Centenarian yang Masih Hidup. 

Istimewanya, pengiktirafan berprestij itu hadir dalam bulan Ogos iaitu sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-70 pada 5 Ogos lalu. 

Iklan

Untuk rekod, Tun M dan Tun Dr Hasmah saling mengenali ketika kedua-duanya bergelar pelajar perubatan di King Edward VII College of Medicine pada tahun 1947. 

Mereka yang disatukan pada 1956 dikurniakan tujuh cahaya mata. 

AMALAN KESIHATAN TUN M & TUN DR HASMAH 

Terdahulu, bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh itu menerusi satu perkongsian TikTok pada tahun 2025, pernah berkongsi enam rutin kesihatan yang diamalkannya: 

1. Jangan tidur terlalu lama 

Ramai beranggapan orang tua perlu banyak berehat, tapi tidak bagi Tun M. Baginya, tidur yang berlebihan hanya menyebabkan badan menjadi lemah dan sukar untuk bangun. 

2. Sentiasa 'aktif' dari segi otak dan tubuh 

Bagi Tun M, kunci utama kesihatan adalah kekal aktif. Aktiviti harian seperti membaca, menulis dan berkomunikasi dengan orang sekeliling dapat merangsang minda. Penting untuk elakkan otak menjadi ‘malas’ atau ‘tumpul’ seiring usia. 

3. Makan sekadar perlu, jangan ikut nafsu 

Satu amalan Dr Mahathir ialah mengawal pemakanan. Katanya, apabila kita makan dan rasa makanan itu sedap, berhenti sebelum kenyang. 

Apabila perut menjadi besar (akibat makanan), jantung perlu kerja keras untuk mengepam darah. Dr Mahathir juga menasihatkan supaya elakkan makanan berlemak yang tinggi kolesterol. 

4. Jauhi rokok dan alkohol 

Tegas Dr Mahathir, kita perlu elakkan diri daripada merokok kerana paru-paru dicipta untuk menyedut oksigen dan bukannya asap rokok. Kedua-dua tabiat ini bukan sahaja merosakkan organ dalaman malah boleh memendekkan usia. 

 5. Aktif bersukan, termasuk menunggang kuda 

Menariknya, Dr Mahathir masih aktif bersukan dan tidak ramai yang mampu melakukan aktiviti ini seusia beliau. Ia termasuk aktiviti menunggang kuda yang dilakukan semasa berada di Antartika dan Eropah. 

6. Kawal nafsu makan untuk kesihatan jantung 

Bagi Dr Mahathir, nafsu makan perlu dikawal demi menjaga kesihatan jantung. Apa yang Tun M lakukan hari ini sebenarnya bukan bermula semalam kerana semua amalan ini sudah dilakukan sejak muda lagi. Konsisten menjaga kesihatan sejak awal membolehkan beliau kekal cergas hingga ke hari ini. 

Sementara itu, Tun Dr Hasmah menerusi satu temu ramah pada tahun 2019 mendedahkan rahsia dan amalan tambahan gaya hidup mereka dengan kekal aktif secara fizikaltermasuk berjalan kaki, mengayuh basikal dan menggunakan treadmill.  

Beliau turut mendedahkan bahawa Tun M pernah aktif menunggang kuda untuk menguatkan otot dan tulang belakang, namun telah berhenti atas faktor umur kuda dan keselamatan. 

Baginya, minda perlu sentiasa dirangsang. Menurut Tun Dr Hasmah, Tun M sangat gemar membaca pelbagai topik seperti sains, automotif dan perkapalan serta banyak menulis untuk memastikan fikiran sentiasa tajam, peka dan tenang.

Sumber: YouTube, TikTok, Facebook