FASA awal perkahwinan lazimnya dihiasi dengan pelbagai memori manis, namun di sebalik senyuman dan kebahagiaan yang dipaparkan, setiap pasangan pasti tidak terlepas daripada ujian hidup.
Hakikat itu diakui sendiri oleh pelakon, Eyra Hazali yang terbuka berkongsi kisah duka dan cabaran sepanjang melayari bahtera rumah tangga bersama suaminya, Muhammad Haziq Nadzli. Mengimbas kembali fasa lima tahun pertama perkahwinan mereka, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak menafikan bahawa tempoh berkenaan sememangnya menjadi medan ujian sebenar buat pasangan suami isteri.
Dedah pelakon drama Mr Grey itu lagi, fasa tersebut merupakan tempoh untuk mengenal watak dan perwatakan sebenar pasangan apabila diuji dengan pelbagai situasi gawat.
Pengalaman berdepan krisis kewangan suatu ketika dahulu menjadi antara lipatan sejarah yang paling memberi kesan dalam hidup mereka.
Eyra atau nama sebenarnya, Hazirah Qasdina Hazali berkongsi, dugaan terbesar hadir sewaktu suaminya tidak menerima bayaran gaji selama beberapa bulan, sedangkan pada masa yang sama wanita itu sedang menunggu hari untuk melahirkan anak.
"Tak ramai yang tahu waktu suami di Perak, gaji tak ada. Tak ada gaji enam bulan setengah, saya nak beranak masa itu. Sampai dia cakap 'Yang, boleh tak pakai duit you?' Saya kata, tak apa, saya boleh kerja. Sebab itu saya tak duduk dengan Haziq di Perak. Saya ambil segala review, segala kempen. Saya boleh.
"Bayangkan simpanan ASB Haziq yang 100 peratus itu, satu peratus pun tak ada tinggal," luahnya jujur.
Marriage bukan selalu happy
Keadaan tersebut memaksa pelakon itu berdikari dan mencari jalan demi kelangsungan hidup keluarga tanpa mahu membebankan suami yang sedang berdepan tekanan.
Anak jati Kuala Lumpur itu mengakui perubahan hidup yang mendadak daripada fasa selesa kepada fasa penuh ketidakpastian mematangkan fikiran dan membongkar realiti sebenar sesebuah perkahwinan.
"Daripada situ kita tahu, marriage bukan selalu happy. Kau dah biasa ada gaji, insurans tak pernah relaks bayar, kereta bayar on time, kadang-kadang bayar tiga bulan sekali.
"Tetapi waktu itu tengah fikir, bulan ini struggle tak habis lagi, bulan depan punya struggle macam mana pula.
"Saya tahu suami tengah susah, saya tak nak susahkan dia lagi. Jadi bagaimana kita nak hadap benda itu dengan dua orang anak lagi, dengan seorang lagi nak keluar? Macam mana kita nak buat?
"Benda itu ujianlah, betul-betul lima tahun usia perkahwinan kami," kongsinya lagi dalam satu podcast baru-baru ini.
Lima tahun kahwin
Walaupun diuji hebat dari sudut rezeki, kesetiaan dan ketabahan pasangan berkenaan menjadi benteng kukuh yang mempertahankan keharmonian rumah tangga mereka daripada ketahuan orang luar mahupun keluarga.
Pengalaman menguruskan tekanan kewangan bersama-sama akhirnya mengeratkan lagi ikatan kasih sayang serta memberikan perspektif baharu tentang maksud perjuangan dalam alam perkahwinan.
"Tapi depan keluarga, ada saja duit. Benda-benda itu semua asam garam kehidupan. Benda itu macam baru menyedarkan saya.
"Betul orang cakap yang lima tahun kahwin, baru nak mula sebenarnya. Dan betul-betul ALLAH uji kita daripada segi rezeki," kongsinya lagi.