'Mama sangat bangga dengan kamu’ – Anak sulung Sharifah Sofia raih emas ragbi SUKMA

Iklan

RASA bangga seorang ibu terhadap kejayaan anak sukar digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang dirasai pelakon Sharifah Sofia apabila anak sulungnya, Sharifah Ariana yang berjaya meraih pingat emas menerusi acara ragbi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian di Instagram, aktres drama Nur Kasih dan filem Gol & Gincu itu meluahkan rasa syukur melihat segala penat lelah Ariana bersama pasukannya akhirnya membuahkan hasil.

“Juara, Alhamdulillah. Segala usaha keras akhirnya membuahkan hasil.

Iklan

“Dua bulan penuh dengan penat lelah, keringat, air mata, bangun awal pagi, berjaga hingga lewat malam dan begitu banyak pengorbanan akhirnya membuahkan sesuatu yang akan kamu kenang sepanjang hayat,” tulisnya.

Iklan

Lebih membanggakan Sofia, Ariana yang baru berusia 15 tahun sudah berani mencabar diri dengan beraksi dalam kategori Bawah 21 tahun.

Pasukan ragbi wanita  Selangor berjaya mempertahankan pingat emas selepas membelasah Sarawak 41-0, sekali gus mengulangi kejayaan menewaskan lawan sama pada final SUKMA 2024 di Miri.

“Mama sangat bangga dengan kamu, anak mama! Baru berusia 15 tahun tetapi sudah beraksi dalam kategori Bawah 21 tahuh, memang kamu luar biasa hebat!

“Ini baru permulaan, sayang. Banyak lagi kejayaan menanti, insya-ALLAH,” katanya.

Bukan sekadar memberikan sokongan kepada anak sendiri, Sofia turut sentiasa berada di sisi pasukan sepanjang kejohanan berlangsung bersama ibu bapa ahli pasukan yang lain.

Menurutnya, sokongan ibu bapa itu yang mencetuskan kejayaan anak-anak mereka lebih bermakna.

Menyedari sukan ragbi yang agak lasak, pelakon  berdarah kacukan Melayu, Arab dan Inggeris itu mengakui dirinya berdebar setiap kali melihat Ariana beraksi di padang.

“Saya sangat-sangat gementar. Sebenarnya kalau boleh tak nak tengok langsung. Tetapi kita datang untuk beri semangat kepada anak-anak.

“Kadang-kadang sebelum permainan pun kita sudah fikir macam-macam sampai menangis dan gementar. Mereka yang bermain, kita pula yang gementar,” katanya.

Sofia berkata, kejayaan Ariana dalam sukan ragbi juga mempunyai kisah tersendiri apabila dia sendiri yang memperkenalkan anaknya kepada sukan tersebut.

Katanya, pada awalnya dia bukan memaksa Ariana untuk bermain, sebaliknya membawa anaknya mengenali dunia ragbi sehingga akhirnya Ariana sendiri jatuh cinta dengan sukan berkenaan.

“Dia kata, ‘Mummy, terima kasih sebab perkenalkan saya kepada ragbi kerana saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan kalau bukan kerana ragbi.’

“Alhamdulillah. Dia juga dipilih untuk pergi secara profesional dan itu sesuatu yang sangat menakjubkan,” ujar Sofia.

Bagaimanapun, sebagai ibu, Sofia tidak menafikan kebimbangan terhadap risiko kecederaan yang sememangnya ada dalam sukan lasak seperti ragbi.

Justeru, dia sentiasa mengingatkan Ariana supaya mengutamakan pemulihan badan selain melakukan latihan pencegahan kecederaan sebelum turun beraksi.

Sofia turut meminta Ariana berkongsi pengetahuan tersebut dengan rakan sepasukan supaya aspek keselamatan tidak dipandang ringan.

Bagi masa depan Ariana, Sofia berharap anaknya terus melangkah lebih jauh dan tidak berhenti mengejar impian.

“Teruskan. Kamu hanya boleh pergi lebih jauh. Umur dia baru 15 tahun, jadi masih banyak lagi SUKMA yang boleh disertai dan insya-ALLAH banyak kejohanan lain.

“Bukan untuk Ariana sahaja, tetapi kepada semua anak-anak Selangor, tahniah. Kita tidak akan buat apa-apa selain menjadi lebih baik dan pergi lebih jauh. Insya-ALLAH,” katanya.

Sekadar info, Sofia memiliki dua orang cahaya mata perempuan iaitu Sharifah Ariana dan Sharifah Ameera hasil perkahwinannya dengan bekas suami iaitu Syed Ismail.

Sumber: Instagram