PENYANYI , komposer dan pelakon Ayda Jebat dikurnia Bintang Cemerlang Melaka (BCM) daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka,
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 34, menjadi antara 431 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka, Sesi Kedua, di di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.
"Penyanyi kelahiran Ayer Keroh, Melaka itu menerima BCM atas jasanya terlibat dalam bidang seni," titip Instagram Melaka Hari Ini.
Ayda menerusi hantaran di Instagram meluahkan kesyukuran atas penghargaan yang diterimanya selain menyifatkan anugerah berkenaan sebagai kenangan manis buat dirinya sebagai anak jati Melaka.
"Alhamdulillah syukur.. Terima kasih Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam, atas penganugerahan Pingat Bintang Cemerlang Melaka yang diberi istimewa sempena Ulangtahun ke-77.
"Terima kasih juga kepada CM Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, dan tahniah kepada semua penerima anugerah.
"Kenangan manis buat saya dapat terima anugerah ini. Jadi sebagai anak jati Melaka, izinkan saya berpantun :
Anugerah diterima pagi ini,
Jadi kenangan sampai mati,
Gema usaha subur di murni,
Tanda bakti tulus di hati.
"Mana lagi? Melaka lerrr! ," titip Ayda.
Penyanyi popular ini dilahirkan pada 17 Mac 1992 di Ayer Keroh, Melaka memulakan perjalanan dalam bidang seni selepas menyertai program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan.
Selebriti yang pernah membintangi filem Gila-Gila Remaja 2, Oh Mak Kau! dan 6 Jilake itu memiliki puluhan single yang terkenal termasuk Pencuri Hati, Memerang, Kentoot, Temberang dan Mata.
Terdahulu, penyanyi dan pelakon Datuk Ziana Zain menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM).
Sumber: Instagram