KANSER buah pinggang atau karsinoma sel renal (RCC) antara penyakit yang boleh berkembang secara senyap tanpa menunjukkan tanda jelas pada peringkat awal.
Menurut Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Christopher Lee Kheng Siang, keadaan tersebut menjadi antara faktor utama kanser buah pinggang sering dikesan pada tahap lebih lewat.
“Tumor buah pinggang pada peringkat awal biasanya bersifat ‘senyap’. Dalam banyak kes, ia dikesan secara tidak sengaja ketika pemeriksaan ultrabunyi abdomen sebagai sebahagian daripada saringan kesihatan,” katanya.
Di Malaysia, kira-kira 47 peratus kes kanser buah pinggang dikesan pada peringkat lewat.
Jelasnya, RCC yang dikesan awal mempunyai peluang penyembuhan yang tinggi, berbeza apabila penyakit sudah berada pada tahap lanjut.
Tumor buah pinggang boleh hadir dalam bentuk ketumbuhan pepejal atau sista kompleks. Tidak semua tumor atau sista bersifat kanser, namun ketumbuhan yang mencurigakan memerlukan pemeriksaan lanjut.
Apabila tumor semakin membesar, barulah sesetengah pesakit mula mengalami tanda seperti sakit pada bahagian abdomen atau belakang badan, bengkak abdomen dan darah dalam air kencing.
Dalam keadaan lebih serius, seseorang mungkin berdepan keletihan, hilang selera makan atau penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas.
Namun begitu, Dr Christopher mengingatkan, ketiadaan simptom tidak bermakna seseorang itu bebas daripada masalah buah pinggang.
“Disebabkan penyakit ini sering tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal, pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting,” jelasnya.
Jika imbasan menunjukkan terdapat tumor atau sista yang mencurigakan, pesakit biasanya akan dirujuk kepada pakar urologi untuk pemeriksaan lanjut.
Antaranya ialah imbasan CT dengan kontras terhadap buah pinggang dan saluran kencing yang menurut pakar itu mempunyai ketepatan sekitar 95 hingga 99 peratus dalam mendiagnosis kanser buah pinggang.
Dalam kebanyakan keadaan, biopsi pula tidak semestinya diperlukan sebelum rawatan dimulakan.
Bantuan robotik
Berita baiknya, RCC peringkat awal mempunyai potensi tinggi untuk dirawat dengan berkesan.
Pun begitu, ia bergantung kepada saiz dan lokasi tumor, doktor mungkin melakukan nefrektomi separa iaitu membuang tumor sahaja atau nefrektomi radikal yang melibatkan pembuangan keseluruhan buah pinggang.
“Sekiranya sesuai, nefrektomi separa sentiasa menjadi pilihan utama kerana ia membantu mengekalkan fungsi buah pinggang yang masih ada,” katanya.
Pendekatan tersebut amat penting terutama bagi pesakit yang masih muda, hanya mempunyai satu buah pinggang berfungsi atau berisiko mengalami penyakit buah pinggang kronik.
Dari sudut pembedahan pula, rawatan boleh dilakukan secara terbuka, laparoskopi atau menggunakan bantuan robotik.
Kaedah invasif minimum seperti laparoskopi dan robotik lazimnya menghasilkan luka lebih kecil, kurang kesakitan, tempoh kemasukan ke hospital lebih singkat dan membolehkan pesakit kembali kepada rutin harian lebih cepat.
Namun, satu perkara penting perlu difahami, robot bukanlah yang melakukan pembedahan secara sendiri.
“Semua pergerakan dikawal sepenuhnya oleh pakar bedah dan tiada fungsi automatik atau kecerdasan buatan (AI),” tegasnya.
Nasihat pakar itu lagi, kesihatan tidak seharusnya hanya diberi perhatian apabila tubuh mula memberi amaran.
"Bagi kanser buah pinggang yang boleh ‘diam’ tanpa gejala, pemeriksaan kesihatan berkala mungkin menjadi langkah penting untuk mengesan masalah lebih awal, sekali gus membuka peluang rawatan lebih baik dan membantu mengekalkan fungsi buah pinggang," ujarnya.