SETIAP kali memilih destinasi percutian, kolam renang atau pantai pasti menjadi pilihan. Mulalah si kecil meloncat-loncat kegembiraan dalam air.
Namun, cuba perhatikan situasi ini secara terperinci. Apabila anak berada di tengah kolam dan tubuhnya tiba-tiba tegak, tangan tidak banyak bergerak, serta pandangan matanya kelihatan kosong, jangan sesekali menganggap si kecil sekadar penat atau sedang mengelamun.
Keadaan itu sebenarnya sinyal merah bahawa anak anda sedang bertarung nyawa berdepan kecemasan di dalam air.
Pakar Pediatrik Columbia Asia Hospital Seremban, Dr Lee Kok Fung berkata, insiden lemas boleh berlaku dalam sekelip mata sehingga ramai ibu bapa terlepas pandang.
"Tempoh antara 20 hingga 60 saat sahaja sudah cukup untuk meletakkan kanak-kanak dalam keadaan bahaya yang kritikal," ujarnya.
Format drama televisyen kerap menggambarkan mangsa lemas akan menggelepar, menjerit dan melambai-lambai meminta bantuan.
Hakikatnya menurut pakar ini, kejadian lemas kebiasaannya berlaku secara senyap dan sukar dikenal pasti melalui fenomena yang dikenali sebagai Instinctive Drowning Response.
Antara tanda lemas senyap yang perlu diperhatikan ialah mulut anak keluar dan masuk permukaan air secara sukar hanya untuk menyedut udara, kedudukan badan tegak di dalam air tanpa sebarang gerakan kayuhan kaki, pergerakan tangan amat terhad, serta mata yang kelihatan tidak fokus atau dipejam rapat.
"Insiden itu tidak berakhir sebaik sahaja si kecil diselamatkan ke darat.
"Jangan terus menghela nafas lega kerana bahaya masih boleh mengintai. Ibu bapa perlu memerhatikan perubahan fizikal dan tingkah laku anak selepas mandi-manda," kongsi pakar itu lagi.
Beliau turut menambah, bantuan perubatan segera penting jika mendapati anak-anak mengalami batuk yang teruk berterusan, muntah-muntah, pernafasan menjadi sangat laju dan cetek atau bahagian kulit di sekitar tulang rusuk dan leher kelihatan tertarik ke dalam semasa bernafas.
Konsep 'pengawas air'
Jika kanak-kanak tidak sedarkan diri walaupun untuk tempoh yang singkat, memerlukan bantuan pernafasan atau resusitasi selepas dikeluarkan dari air, mereka perlu mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera.
"Sebagai langkah kesiapsiagaan, ibu bapa juga amat digalakkan menguasai kemahiran asas Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) kerana ia amat krusial untuk menyelamatkan nyawa sementara menunggu bantuan perubatan tiba.
"Selain itu, wujudkan konsep 'pengawas air' ketika bercuti, yang mana seorang dewasa dilantik untuk memberikan fokus 100 peratus mengawasi anak-anak tanpa sebarang gangguan telefon bimbit," nasihatnya lagi.
Ibu bapa juga perlu memahami risiko di setiap lokasi air berbeza. Bagi kolam di rumah, pastikan pagar keselamatan sentiasa terkunci.
Di pantai pula, ajar anak bahaya arus karau di mana mereka perlu berenang secara selari dengan garisan pantai jika terperangkap, bukannya melawan arus.
Sementara itu, kawasan sungai dan air terjun memerlukan ketelitian tambahan kerana ancaman arus bawah permukaan dan batu licin.
"Keselamatan kanak-kanak di kawasan berair bermula dengan pengawasan yang konsisten, kesiapsiagaan dan kesedaran ibu bapa," ujar pakar itu lagi.