'Kami reda tapi rindu...' - Raisuddin kunjungi pusara Siti Sarah, ibu Shuib sebak menitis air mata

Iklan

SETIAP kali menjelangnya bulan Ogos dan September, suasana suram dan syahdu seakan-akan menyelubungi jiwa ahli keluarga Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin. 

Tahun demi tahun berlalu selepas pemergian penyanyi tersohor itu, kerinduan terhadapnya langsung tidak pernah pudar dalam lipatan kenangan keluarga.

Iklan
Iklan

Baru-baru ini, tular satu perkongsian menyentuh hati yang memaparkan bapanya melawat dan membersihkan pusara anak kesayangannya. 

Kehadiran lelaki itu ke tanah perkuburan itu turut ditemani oleh ahli keluarga yang lain bagi mengubat kerinduan sarat.

Iklan

Namun apa yang menyentuh perasaan adalah momen panggilan video bersama ibu kepada pelawak dan usahawan Shuib, iaitu Salamiah Jalani atau mesra disapa Mama. 

Iklan

Mengakui teringatkan Siti Sarah, Salamiah tidak dapat menahan sebak apabila melihat suasana terkini di pusara arwah menantunya itu. 

Sambil menyapu air mata, dia meluahkan rasa rindu.

"Tak tahulah, asyik teringat dia je lah abah..." luahnya. 

Raisuddin bagaimana pun cuba menenangkan dengan memegang batu nisan sambil memujuk.

"Tak apa, dia dah rehat sedap dah. Tak ada pening-pening kepala dah," tuturnya.

Difahamkan, empat hari sebelum kunjungan ke pusara tersebut, Salamiah menghantar mesej meluahkan rasa rindunya yang amat sangat terhadap arwah  Sarah.

Menerusi kapsyen yang dikongsikan, keluarga meluahkan biarpun di mata luar mereka kelihatan tabah dan kuat menempuh hari-hari mendatang, hakikatnya jiwa mereka amat rapuh setiap kali ingatan terhadap Allahyarham menerpa.

"Masuk sahaja bulan Ogos dan September, seakan ada mendung yang singgah di hati kami. Berminggu-minggu rindu ini datang mengetuk pintu hati, begitu sarat dan tidak pernah berkurang.

"Kami teramat rindukan suara, gelak tawa dan telatah mu, Siti. Di mata orang, abah dan keluarga kelihatan kuat, namun hakikatnya kami terlalu rapuh setiap kali teringat akan insan bernama Siti Sarah. Kami reda tapi rindu ini tak pernah ada noktahnya," tulis kapsyen berkenaan.

Ruang komen perkongsian tersebut dihujani dengan doa daripada netizen dan peminat yang turut merasai kepedihan serta kerinduan keluarga. Rata-rata mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Imbas kembali, Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM  selepas tahap oksigen menurun setelah dijangkiti virus Covid-19 pada 27 Julai 2021.

Sarah kemudiannya ditidurkan sebelum pembedahan dijalankan bagi mengeluarkan Ayash dari dalam kandungan.

Sejak itu, keadaan Sarah mula merosot dan baik seketika sebelum doktor memaklumkan paras oksigen dalam badan penyanyi itu berkurangan kepada 40 peratus pada malam Ahad 8 Ogos 2021.

Setelah 65 jam bertarung nyawa, Sarah yang ketika itu berusia 37 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos 2021.