Cipta sejarah! Dari guru dan aktivis, Taanusiya Chetty bawa nama Malaysia ke pentas dunia, raih tempat ketiga Miss World 2026

Iklan

NAMA Taanusiya Chetty kini bukan lagi asing buat rakyat Malaysia selepas berjaya menamatkan saingan Miss World 2026 di tempat ketiga.

Kejayaan manis itu secara tidak langsung mengakhiri penantian selama 28 tahun, mengulangi pencapaian bersejarah yang pernah dilakar oleh Lina Teoh pada Miss World edisi 1998 di Mahe, Seychelles.

Iklan
Iklan

Pertandingan yang menghimpunkan 111 peserta dari seluruh pelosok dunia menyaksikan Joheirry Mola Dominguez dari Republik Dominika memenangi gelaran ratu, serta Elisabeth Reynes Alabern dari Sepanyol di tempat kedua.

Lebih manis lagi, kejayaan wanita berusia 26 tahun itu apabila  mengungguli segmen Beauty With A Purpose (BWAP), menewaskan pesaing terdekatnya, Brunette Makanyiso dari Zimbabwe.

Iklan

BWAP adalah antara pengiktirafan utama Miss World berdasarkan komitmen dan impak projek kemasyarakatan yang dilakukan oleh peserta.

Ketika segmen gaun malam pula, Miss World Malaysia 2024/2025 itu tampil anggun dalam persalinan merah jambu yang diilhamkan oleh pereka fesyen Vietnam Minh Tuan Couture.

Iklan

Beliau turut mencuri tumpuan ramai selepas videonya berucap dalam empat bahasa, iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil ketika Head-to-Head Challenge Miss World 2026 pada 23 Ogos lepas.

Taanusiya membuktikan dirinya bukan sekadar memiliki rupa paras yang memikat, tetapi turut membawa kisah hidup dan perjuangan yang jauh lebih besar daripada sebuah pertandingan kecantikan.

Berasal dari Kuala Lumpur, beliau yang mesra disapa Taanu merupakan seorang guru Bahasa Inggeris, model dan aktivis yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Teaching English as a Second Language (TESL).

Namun, di sebalik keyakinan yang ditampilkan di pentas antarabangsa, Taanu pernah melalui pengalaman hidup yang cukup mencabar.

Ketika berusia 14 tahun, beliau kehilangan ibu tersayang dalam satu kemalangan jalan raya.

Kehilangan itu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi pada usia yang masih muda. Namun, pengalaman tersebut sedikit demi sedikit membentuk dirinya dan menyemai keinginan untuk membantu golongan yang memerlukan, khususnya kanak-kanak.

Malah, minat itu kemudiannya diterjemahkan melalui penubuhan Be The Change Malaysia pada 2022 sebelum mendaftarkan organisasi berkenaan secara rasmi sebagai Pertubuhan Suara Perubahan Insan Murni.

Di bawah pertubuhan itu, beliau bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan inisiatif sekolah dalam hospital bagi kanak-kanak Orang Asli, selain mengadakan bengkel seni untuk golongan muda autistik dan mengunjungi pesakit leukemia kanak-kanak.

“Menjelang 2028, saya berharap dapat bekerjasama dengan Pertubuhan Miss World untuk mengembangkanBe The Change Malaysiake peringkat antarabangsa kerana saya yakin kita boleh menyelaraskan usaha bagi mencapai matlamat yang dihasratkan.

“Antara yang saya fikirkan sebelum menyertai pertandingan itu adalah untuk memperluas usaha kecerdasan emosi di Kemboja dan Vietnam,” katanya sambil menambah bahawa sejak platform itu dilancarkan, ia telah memberikan manfaat kepada 8,000 kanak-kanak dan mengumpul RM60,000 menerusi program khidmat masyarakat.

Sebab itu, apabila Taanu bercakap mengenai perubahan, ketabahan dan tujuan hidup, ia bukan sekadar jawapan yang disusun untuk memikat juri.

Ia adalah perkara yang dekat dengan kehidupan beliau sendiri.

Sebelum membawa nama Malaysia ke pentas Miss World, Taanu terlebih dahulu mempunyai pengalaman antarabangsa menerusi penyertaannya dalam Miss Global 2023.

Kemudian, ketika dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2024/2025, beliau turut mencipta rekod tersendiri apabila membawa pulang tujuh anugerah tambahan, termasuk Top Model Award, Best in Evening Gown dan Charity Queen Award.

Tidak hairanlah perjalanan Taanu di Miss World 2026 turut memperlihatkan sisi dirinya yang lebih daripada sekadar seorang peserta pertandingan ratu cantik.

Salah satu detik yang paling mendapat perhatian ialah ketika beliau tampil berucap dalam empat bahasa di pentas antarabangsa. Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Bagi Taanu, kebolehan itu bukan sekadar menunjukkan kelebihan dirinya, tetapi turut menjadi cara untuk membawa kepelbagaian dan identiti Malaysia ke mata dunia.

Malah, beliau turut meluangkan masa berbulan-bulan mempelajari silat tari sebagai usaha membawa elemen budaya tempatan ke pentas Miss World.

Dalam pertandingan yang menghimpunkan peserta dari pelbagai negara itu, Taanu hadir bukan dengan kecantikan semata-mata.

Beliau membawa latar seorang pendidik, pengalaman sebagai aktivis, kecintaan terhadap budaya serta kisah hidup yang menjadikannya lebih kental.

Mungkin itu yang membuatkan pencapaiannya di Miss World 2026 terasa lebih bermakna.

Kerana di sebalik mahkota dan gaun yang indah, ada seorang wanita Malaysia yang memilih untuk menggunakan suara dan pengalamannya bagi memberi manfaat kepada orang lain.

Taanusiya sudah menunjukkan sesuatu yang cukup membanggakan bahawa wanita Malaysia mampu melangkah jauh di pentas dunia tanpa perlu meninggalkan siapa dirinya, dari mana dia datang dan perkara yang diperjuangkannya.

Sumber : Bernama, Instagram & Threads