PERJALANAN melawan kanser bukan berakhir selepas selesai menjalani kemoterapi atau radioterapi. Sebaliknya, fasa pemulihan selepas rawatan juga memerlukan perhatian supaya tubuh dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Dalam tempoh itu, pemakanan, aktiviti fizikal, kesihatan metabolik, kesejahteraan emosi dan pengurusan kesihatan secara menyeluruh semakin penting.
Perkara berkenaan turut menjadi fokus NCSM × Himalaya Wellness Summit anjuran Himalaya Wellness Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di Sunway University, baru-baru ini.
Program berkenaan menghimpunkan doktor dan pengamal penjagaan kesihatan untuk berkongsi pandangan mengenai kesejahteraan holistik, kesihatan hati dan buah pinggang, kesihatan metabolik serta kesihatan lelaki.
Menurut Pengarah Urusan NCSM, Kol Bersekutu (PA) Profesor Dr Murallitharan Munisamy, pesakit kanser masih boleh berdepan masalah kesihatan lain walaupun sedang menjalani rawatan.
“Apabila seseorang didiagnosis dengan kanser, kita memberikan rawatan untuk kansernya. Tetapi bukan bermakna masalah kesihatan lain seperti buah pinggang, hati atau kesihatan lelaki turut terhenti.
“Selepas melalui kemoterapi, radioterapi dan sebagainya, mereka memerlukan pemulihan. Sebab itu kita perlu berhati-hati dengan ubat atau produk tambahan yang diberikan kerana boleh berlaku interaksi antara ubat,” katanya.
Justeru, pendekatan holistik dilihat mampu melengkapkan penjagaan pesakit, namun ia tidak bermaksud menggantikan rawatan perubatan konvensional.
Dalam pengurusan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit tidak berjangkit (NCD), rawatan perubatan kekal sebagai asas utama. Pada masa sama, gaya hidup, pemakanan dan amalan penjagaan kesihatan sokongan juga boleh membantu meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup.
Jaga kesihatan sebelum sakit
Perbincangan mengenai kesihatan juga tidak seharusnya hanya tertumpu kepada mereka yang sudah sakit.
Aspek pencegahan perlu diberi perhatian menerusi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif serta pengambilan nutrien yang mencukupi mengikut keperluan individu.
“Kesihatan bukan hanya tentang merawat orang yang sudah sakit. Kita juga perlu melihat kepada pencegahan.
“Pemakanan memang perlu dijaga, begitu juga keperluan terhadap mikronutrien dan nutrisi tertentu. Tidak semua perkara perlu menunggu sehingga kita sakit dan mengambil ubat,” jelas beliau lagi.
Dalam konteks itu, pendekatan berasaskan tumbuhan dan produk herba boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada penjagaan pelengkap, tetapi pengguna perlu mendapatkan pandangan profesional terutama jika mempunyai penyakit tertentu atau mengambil ubat secara berkala.
Himalaya Wellness pula dilihat mempunyai pengalaman panjang dalam bidang tersebut dengan sejarah hampir 100 tahun serta penyelidikan berkaitan produk berasaskan herba.
Pengurus Besar Himalaya Wellness Malaysia dan Singapura, Kumaran Chandrasegaran dalam kenyataannya berkata, kerjasama bersama NCSM mewujudkan platform untuk doktor dan pengamal kesihatan membincangkan pendekatan pelengkap berdasarkan bukti, keselamatan pesakit dan batasan klinikal yang jelas.
“Pendekatan pelengkap tidak menggantikan rawatan perubatan, tetapi boleh menyokong pengurusan kesihatan secara proaktif dan berterusan mengikut keperluan individu,” katanya.
Kerjasama tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Himalaya Wellness Malaysia dan NCSM bagi menyokong pendidikan profesional, penglibatan perubatan serta kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat.
Antara usaha yang mahu diperkasakan ialah saringan, pengesanan awal dan pendidikan kesihatan kepada orang ramai.
Pada masa sama, aspek kemampuan pengguna juga tidak diketepikan kerana penjagaan wellness lazimnya memerlukan konsistensi untuk jangka panjang.
“Bila kita bercakap tentang wellness, ia bukan sesuatu yang diambil sekali sahaja. Ia mungkin perlu diamalkan setiap hari atau minggu untuk tempoh yang panjang.
“Sebab itu kualiti tidak seharusnya hanya dikaitkan dengan harga yang tinggi. Produk berkualiti juga perlu mengambil kira kemampuan pengguna,” kata Kumaran.
Pendekatan mudahnya, jangan tunggu tubuh memberi amaran sebelum mula menjaga kesihatan.
Daripada apa yang dimakan, gaya hidup, pemeriksaan berkala hinggalah mendapatkan nasihat profesional sebelum mengambil sebarang produk pelengkap, semuanya memainkan peranan dalam membina kehidupan yang lebih sihat dan seimbang.