KALAU kita buka media sosial hari ini, memang susah nak lari daripada kandungan jual beli.
Sekejap nampak orang buat ulasan produk, kemudian muncul pula sesi jualan langsung. Belum sempat tutup aplikasi, sudah ada promosi lain yang membuatkan kita terfikir, “Eh, perlu ke aku beli benda ni?”
Dalam dunia yang serba digital inilah usahawan tempatan cuba mencari ruang untuk berkembang.
Namun, apabila Khairul Aming memperkenalkan projek terbaharunya, ‘bandar livestream’, ia bukan sahaja mendapat perhatian, malah mengundang perdebatan dalam kalangan warganet.
Konsep berkenaan mengetengahkan beberapa usahawan untuk menjual produk mereka secara langsung menerusi sebuah platform media sosial yang sememangnya mempunyai jumlah pengguna yang besar.
Niatnya nampak mudah, iaitu memberi ruang kepada peniaga tempatan untuk mendapatkan perhatian pelanggan dan mengembangkan perniagaan.
Tetapi, seperti biasa di media sosial, satu perkara boleh dilihat daripada pelbagai sudut.
Bila usaha bantu peniaga dilabel kapitalis
Segalanya bermula apabila seorang pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara projek berkenaan diperkenalkan.
Khairul Aming kemudian memberikan respons terhadap komen tersebut dan mengakui dia kecewa apabila usaha membantu usahawan tempatan turut dikaitkan dengan sentimen kapitalis.
“Kita nak usahawan tempatan berkembang ke depan tetapi dalam masa yang sama sentimen kapitalis yang diletakkan,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Bagi Khairul Aming, pendekatan yang dilakukannya bukan sekadar soal menjual barang atau mengejar keuntungan.
Sebaliknya, dia melihat perniagaan sebagai satu ekosistem yang melibatkan ramai pihak.
Menurutnya, hasil perniagaan bukan hanya memberi manfaat kepada dirinya, malah pekerja, pembekal, vendor, penghantar, pelanggan serta negara melalui bayaran cukai dan kutipan zakat.
Malah, pengalaman dan ilmu yang dimilikinya juga mahu dikongsikan supaya lebih ramai boleh belajar dan berkembang bersama.
"Kalau dengan saya berniaga ini sakitkan hati anda, saya minta maaf,” ujarnya.
Menariknya, perdebatan itu tidak berhenti pada perkataan ‘kapitalis’.
Sebahagian warganet melihat isu sebenar mungkin lebih berkait dengan budaya penggunaan berlebihan atau overconsumption.
Mereka berpendapat, jika kebimbangan yang ingin dibangkitkan adalah tentang tabiat membeli secara berlebihan, maka perkara tersebut sepatutnya dibincangkan secara terus tanpa perlu mengaitkannya dengan label terhadap individu tertentu.
Lebih-lebih lagi apabila seseorang membuat kenyataan berkaitan orang kaya, orang miskin dan tabiat berbelanja, ia mudah ditafsir sebagai satu bentuk penghakiman terhadap cara hidup seseorang.
Platform besar
Ada juga yang berpendapat bahawa membeli sesuatu dengan harga murah sekalipun tidak semestinya membawa kebahagiaan. Pendek kata, masalahnya bukan semata-mata pada harga barang, tetapi mengapa kita membeli dan sejauh mana kita mampu mengawal keinginan untuk membeli.
Dalam kehidupan sekarang, perkara itu memang mudah berlaku. Diskaun, baucar, jualan kilat dan sesi jualan langsung membuatkan proses membeli sesuatu menjadi terlalu mudah. Kadang-kadang barang yang pada awalnya langsung tidak ada dalam senarai keperluan tiba-tiba masuk ke dalam troli.
Jadi, salahkah guna platform besar?
Pada masa sama, ada pula warganet yang mempertahankan tindakan Khairul Aming menggunakan platform sedia ada.
Logiknya mudah. Kalau majoriti pengguna berada di platform tersebut, mengapa tidak gunakan ruang yang memang sudah mempunyai capaian besar untuk membantu usahawan kecil?
Membina platform sendiri bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kos, teknologi, tenaga kerja dan kapasiti untuk menampung jumlah pengguna yang besar.
Jadi, menunggu sehingga wujudnya sebuah platform tempatan yang benar-benar mampu menyaingi platform gergasi mungkin bukan penyelesaian segera buat peniaga kecil yang mahu berniaga hari ini.
Bagi sesetengah pengguna, menggunakan platform tersebut juga tidak semestinya bermaksud menyokong semua aspek budaya atau model perniagaannya.
Ia boleh jadi sekadar menggunakan ruang yang tersedia untuk membantu peniaga mendapatkan pelanggan.
Tabiat membeli
Pada akhirnya, mungkin ada dua perkara yang boleh berjalan serentak. Usahawan tempatan berhak mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan dan menjana pendapatan.
Pada masa sama, pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk lebih sedar tentang tabiat membeli masing-masing.
Kita tidak perlu berhenti membeli. Kita juga tidak perlu melihat keuntungan sebagai sesuatu yang salah. Cuma, sesekali elok juga kita tanya diri sendiri sebelum menekan butang checkout:
“Aku memang perlukan benda ni atau aku cuma terpengaruh?”
Begitu juga apabila melihat seseorang berniaga. Tak semestinya setiap usaha mencari keuntungan perlu dilihat sebagai sesuatu yang negatif.
Dan tak salah juga jika kita mahu membincangkan kesan budaya penggunaan berlebihan. Yang penting, mungkin kita boleh belajar membezakan antara mengkritik sesuatu idea dengan melabel peribadi seseorang.
Perdebatan mengenai ‘bandar livestream’ Khairul Aming akhirnya menjadi lebih besar daripada sekadar satu projek. Ia membuka ruang untuk kita fikir semula tentang dunia keusahawanan, peluang peniaga tempatan, kuasa platform digital dan paling dekat dengan kehidupan kita, cara kita membeli.
Sebab dalam dunia yang sentiasa mengajak kita membeli, mungkin kemahiran paling penting bukan sekadar tahu apa yang hendak dibeli, tetapi tahu bila kita sebenarnya tidak perlu membeli.