“Kenapa anak aku makan itu sahaja?”
Persoalan sebegini sering bermain di fikiran ibu bapa apabila si kecil tiba-tiba menolak makanan yang sebelum ini menjadi kegemaran.
Hari ini berselera makan ayam, esok sudah tidak mahu. Sayur pula jangan cakap, baru nampak warna hijau di pinggan, terus ditolak.
Namun, menurut Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Sheena Davahran, tabiat memilih makanan sebenarnya lazim dalam kalangan kanak-kanak dan selalunya sebahagian daripada perkembangan normal.
Malah, dianggarkan antara 25 hingga 66 peratus kanak-kanak kecil mengalami masalah memilih makanan.
“Tabiat memilih makanan biasanya merupakan sebahagian daripada perkembangan normal kanak-kanak dan tidak semestinya menunjukkan terdapat masalah terhadap pemakanan mereka,” ujar Dr Sheena.
Beliau menambah, fasa memilih makanan biasanya mula kelihatan ketika anak berusia sekitar 18 bulan hingga dua tahun.
Pada usia ini, mereka sedang belajar berdikari dan mula menyedari bahawa mereka mempunyai kehendak serta pilihan sendiri.
“Makanan menjadi salah satu cara untuk anak menunjukkan keinginan dan mendapatkan kawalan terhadap perkara yang berlaku di sekeliling.
“Sebab itu, jangan terkejut jika anak yang sebelum ini makan hampir semua makanan tiba-tiba menolak hidangan kegemarannya.
“Dalam kebanyakan keadaan, ia bukan petanda masalah pemakanan. Apabila semakin membesar, terutama selepas memasuki alam prasekolah dan sekolah rendah, anak biasanya semakin terbuka untuk mencuba makanan berbeza,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai segelintir anak-anak yang lebih memilih nuget, kentang goreng atau makanan diproses, pakar itu berkata, ibu bapa tidak perlu terus panik.
“Makanan sebegini lazimnya mempunyai rasa, tekstur dan kandungan tenaga yang lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.
“Namun, tidak bermakna ia perlu dilarang sepenuhnya. Larangan terlalu ketat boleh menyebabkan anak semakin tertarik terhadap makanan tersebut.
“Sebaliknya, kawal pengambilannya secara sederhana dan cuba sediakan alternatif lebih berkhasiat,” nasihatnya lagi.
Nuget ayam misalnya boleh dibuat sendiri di rumah, manakala kentang boleh dipotong dan dibakar.
Jika anak mula bosan dengan ayam atau ikan, tawarkan sumber protein lain seperti telur, tauhu dan kekacang.
Bentuk serta cara masakan juga boleh diubah. Kadangkala perubahan kecil pada tekstur atau rupa makanan sudah cukup untuk membuatkan anak lebih bersedia mencubanya.
Paling penting, jangan paksa anak makan. Teruskan menawarkan makanan yang pelbagai dan beri mereka masa untuk mengenali rasa serta tekstur baharu.
Tabiat pemakanan
Anak banyak belajar melalui pemerhatian. Jadi, waktu makan bersama keluarga boleh menjadi peluang untuk membentuk tabiat pemakanan yang lebih baik. Jika ibu bapa menikmati makanan yang sama, anak juga lebih terdorong untuk mencuba.
“Penggunaan telefon atau tablet ketika makan pula sebaiknya dielakkan kerana skrin boleh mengalih perhatian anak daripada makanan dan pengalaman menikmati hidangan.
“Anak makan sedikit pada satu-satu waktu tidak semestinya bermakna mereka kekurangan zat.
“Sebaliknya, lihat pengambilan makanan secara keseluruhan sepanjang hari. Snek berkhasiat seperti buah-buahan dan roti juga boleh ditawarkan antara waktu makan,” ulas pakar itu lagi.
Beliau turut menambah, ibu bapa bagaimana pun perlu mendapatkan nasihat doktor jika tabiat memilih makanan mula menjejaskan tumbesaran dan perkembangan.
Antara tanda amaran seperti berat badan tidak bertambah dengan baik, tanda kekurangan zat seperti anemia, kerap tercekik, loya atau muntah ketika makan serta hanya mengambil beberapa jenis makanan untuk tempoh yang panjang.
Keadaan ini mungkin berkaitan masalah deria, keengganan terhadap makanan atau gangguan pemakanan yang memerlukan penilaian lanjut.
Justeru, ibu bapa usah tunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius. Pemeriksaan berkala membantu tumbesaran dan perkembangan anak-anak.