Bukan sekadar hiburan, empat karya baharu TV AlHijrah bawa kisah dekat dengan realiti masyarakat

Iklan

BILA sebuah cerita berjaya membuatkan penonton ketawa, berdebar atau tersentuh, biasanya ada sesuatu yang lebih besar cuba disampaikan di sebalik jalan ceritanya.

Begitu juga dengan empat karya terbaharu TV AlHijrah yang mengetengahkan kisah manusia daripada sudut berbeza, termasuk perjuangan mendapatkan keadilan, berdepan kepercayaan mistik, menyiasat kejadian paranormal serta perjalanan seorang bekas banduan mencari peluang untuk memulakan hidup baharu.

Iklan
Iklan

Menerusi dua telefilem dan dua drama bersiri, iaitu Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan, TV AlHijrah membawa penonton menyelami pelbagai persoalan yang sebenarnya dekat dengan kehidupan seharian.

Lebih menarik, keempat-empat karya berkenaan terlebih dahulu ditawarkan sebagai tayangan premium menerusi aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+) sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah seminggu kemudian.

Iklan

Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, pemilihan karya berkenaan mengambil kira kekuatan cerita selain isu yang dekat dengan masyarakat.

Iklan

“Bagi TV AlHijrah, drama bukan sekadar ruang untuk bercerita atau menghiburkan. Ia juga ruang untuk kita membawa penonton melihat semula realiti di sekeliling mereka.

“Persoalan tentang prasangka, keadilan, kepercayaan, taubat dan peluang kedua. Kita mahu nilai Islam hadir secara semula jadi melalui cerita dan perjalanan watak, bukan sekadar melalui mesej yang disebut secara langsung,” katanya.

Membuka tirai ialah Bersuara Tapi Tak Didengar yang mula ditayangkan pada 6 September 2026, Ahad, jam 9 malam menerusi AH+.

Telefilem berdurasi 120 minit arahan Heykal Hanifah terbitan Luqsar Kreatif itu mengangkat kisah Zaini, seorang peguam muda dengan sindrom Tourette yang berdepan diskriminasi dalam dunia profesional.

Selepas mewarisi sebuah firma guaman, Zaini berusaha mempertahankan maruah, integriti dan keadilan meskipun terpaksa berdepan muslihat seorang peguam senior serta persepsi masyarakat.

Dibintangi Nafiz Muaz, Rusdi Ramli dan Dato’ Hilal Azman, kisah tersebut membawa penonton melihat bagaimana seseorang boleh berdepan cabaran bukan sahaja dalam kerjaya, malah ketika berusaha membuktikan kemampuan dirinya.

Sementara itu, sisi misteri pula diketengahkan menerusi Mistik Bilik Mayat yang mula bersiaran di AH+ dari 22 September hingga 26 Oktober 2026, setiap Isnin dan Selasa, jam 10 malam.

Siri lapan episod arahan Rashid Sibir terbitan Opera Klasik Film itu membawa penonton ke satu latar yang jarang diterokai secara mendalam dalam drama televisyen, iaitu kematian, pengurusan jenazah dan pengebumian.

Dalam masa sama, pelbagai kepercayaan mistik serta amalan yang berakar dalam masyarakat dirungkai dari perspektif Islam.

Barisan pelakonnya termasuk Khir Rahman, Siti Elizad, Omar Abdullah dan Datuk Fauziah Nawi.

Bagi yang gemarkan kisah paranormal, Ghost Buskers pula menawarkan pendekatan berbeza apabila dunia nasyid, dakwah, ruqyah dan penyiasatan paranormal digabungkan dalam sebuah siri lapan episod.

Kumpulan pemuzik yang juga menjadi pendakwah jalanan itu berdepan pelbagai kes misteri dan cuba menanganinya secara patuh syariah, selain menilai bukti serta penjelasan yang rasional.

Apa yang menarik, cerita ini tidak melihat setiap kejadian aneh sebagai gangguan makhluk halus. Sebaliknya, terdapat juga kes yang dikaitkan dengan tekanan emosi, fenomena fizikal, penipuan atau scam berasaskan kepercayaan khurafat.

Terbitan Sha’s Media dan arahan Eoon Shuhaini, siri yang menampilkan UNIC, Nabila Razali, Sharifah Rose dan Jazmy Juma itu bersiaran dari 20 Oktober hingga 16 November 2026, setiap Isnin dan Selasa, jam 10 malam menerusi AH+.

Tidak kurang menyentuh ialah Azan Terakhir Seorang Banduan yang membawa kisah Zack, seorang bekas banduan yang mahu meninggalkan kehidupan lama dan memulakan lembaran baharu.

Namun, masa lalu terus menghantuinya apabila dia ditolak masyarakat dan keluarga. Dalam keadaan itu, surau menjadi tempat Zack kembali dan dia terus istiqamah mengimarahkannya dengan azan serta ibadah.

Telefilem arahan Jamal Khan terbitan Cinema Stage tersebut mengangkat persoalan tentang taubat, pengampunan, stigma masyarakat dan peluang kedua.

Dibintangi Redza Rosli, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Amir Khan, telefilem itu dijadualkan bersiaran pada 11 Oktober 2026, Ahad, jam 9 malam menerusi AH+.

Menurut Zulkarnaen, kepelbagaian genre dan format tersebut membolehkan mesej dakwah disampaikan menerusi pendekatan yang lebih pelbagai serta dekat dengan cita rasa penonton masa kini.

( Kanan) Ketua Pegawai Operasi (COO), Nadzariah Mohamed. Sementara itu, kiri pula Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar

“TV AlHijrah tidak mahu mengehadkan kandungan dakwah kepada satu bentuk atau genre sahaja. Cerita tentang seorang peguam dengan sindrom Tourette, misteri di bilik mayat, penyiasatan paranormal ataupun perjalanan seorang bekas banduan untuk kembali kepada ALLAH, semuanya boleh menjadi ruang dakwah apabila digarap dengan ilmu, tanggungjawab dan sensitiviti.

“Bagi kami, hiburan mesti ada nilai, tetapi nilai itu juga perlu sampai kepada penonton melalui cerita yang mereka mahu tonton,” katanya.

Dengan empat karya yang membawa latar dan persoalan berbeza, TV AlHijrah bukan sahaja menawarkan pilihan tontonan baharu, malah memberi ruang kepada penonton melihat isu seperti prasangka, keadilan, kepercayaan, taubat dan peluang kedua melalui kaca mata yang lebih dekat dengan kehidupan.

Kesemua judul boleh diikuti menerusi aplikasi AlHijrah Plus mengikut jadual tayangan yang ditetapkan sebelum disiarkan di saluran TV AlHijrah seminggu kemudian.