BUKAN mudah menyatukan tiga nama besar yang sudah puluhan tahun berdiri dengan identiti dan gaya tersendiri. Namun bagi Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ, apabila mereka memilih untuk berkongsi pentas sebagai 3DIVA, ego perlu diketepikan demi memastikan persembahan berjalan lancar.
Ketiga-tiga penyanyi solo itu bakal kembali menemui peminat menerusi konsert 3DIVA LIVE IN MALAYSIA 2026 [TIMELESS] pada November ini.
Bagi mereka, pengalaman panjang dalam industri tidak bermakna setiap perkara boleh dilakukan mengikut cara sendiri. Sebaliknya, keserasian, toleransi dan kesediaan untuk saling memahami menjadi kunci apabila tiga personaliti besar digabungkan dalam satu persembahan.
“Kami perlu merendahkan sedikit ego masing-masing kerana kami dipertemukan bertiga. Tidak boleh juga terlalu banyak permintaan yang memeningkan,” kata Kris Dayanti.
Keserasian yang sudah terbina antara mereka turut memudahkan proses latihan. Bagaimanapun, apabila tiba pada segmen bertiga, perhatian lebih diberikan kepada pembahagian suara dan harmonisasi supaya setiap bahagian kedengaran seimbang.
Latihan juga menjadi ruang untuk mereka saling membantu, termasuk mengingatkan antara satu sama lain sekiranya ada bahagian lagu yang terlupa.
Menariknya, walaupun sudah begitu lama berada di pentas, rasa gementar sebelum persembahan masih menjadi sebahagian daripada pengalaman mereka.
“Kalau hendak menyanyi untuk konsert sendiri atau persembahan lain, masih ada rasa gementar,” kata Titi DJ.
Perasaan berdebar itu biasanya hadir ketika menunggu detik untuk berdepan dengan penonton. Namun, sebaik sahaja berada di atas pentas, perhatian mereka mula tertumpu kepada persembahan dan rasa gementar beransur reda.
Menjelang pertemuan dengan peminat Malaysia pula, 3DIVA sedar nama besar mereka pastinya hadir bersama jangkaan tersendiri daripada penonton.
Bagi Titi DJ, perkara itu tidak seharusnya menjadi tekanan, sebaliknya satu tanggungjawab untuk memastikan persembahan yang disajikan benar-benar meninggalkan pengalaman bermakna.
“Memang wajar apabila penonton datang dengan jangkaan. Kami perlu memikirkan bagaimana lagu yang disajikan dapat membuat mereka teruja,” katanya.
Lebih daripada sekadar menyampaikan lagu, mereka turut mengharapkan pentas TIMELESS menjadi ruang untuk mencipta momen bersama penonton.
Antara yang paling dinantikan tentunya saat peminat turut menyanyi bersama, sekali gus menghidupkan suasana sepanjang persembahan.
Konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 22 November 2026, jam 5 petang di Unifi Arena, Kuala Lumpur, dengan penganjuran oleh T-Rex Studio Sdn Bhd.