256 peserta, 13 cabaran, 5 lokasi! Ehsan Unity Hunt 2026 'Kita Malaysia' satukan komuniti, media dan rakan strategik

Iklan

BUKAN sekadar bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain, Ehsan Unity Hunt 2026 'Kita Malaysia' mengajak peserta menguji kepantasan, kreativiti dan kerjasama dalam suasana santai tetapi penuh cabaran.

Menariknya, setiap tugasan yang disediakan membawa peserta menyusuri beberapa lokasi sekitar Selangor, sambil memberi peluang untuk mengenali operasi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan produk Ehsan dengan cara yang lebih dekat dan interaktif.

Iklan
Iklan

Program sulung anjuran PKPS itu menghimpunkan 256 peserta menerusi 64 kumpulan, terdiri daripada 176 peserta kategori terbuka dan 80 peserta kategori media.

Iklan

Setiap kumpulan terdiri daripada empat peserta yang bergerak menggunakan sebuah kenderaan sebelum menyelesaikan cabaran di lima lokasi checkpoint.

Pelepasan bermula di Wisma PKPS apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi, mengibarkan bendera sebagai simbolik permulaan kepada para peserta.

Iklan

Menurut beliau, penganjuran Ehsan Unity Hunt 2026 bukan semata-mata bertujuan mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi salah satu pendekatan PKPS untuk mendekati masyarakat dengan cara yang lebih santai dan menyeronokkan.

“Ehsan Unity Hunt 2026 bukan sekadar sebuah aktiviti santai dan rekreasi, tetapi menjadi platform untuk kita mendekati komuniti, memperkenalkan jenama Ehsan dan pada masa sama mengeratkan hubungan dengan rakan media serta rakan strategik.

“Sebagai penganjuran sulung, kita mahu peserta dapat merasai sesuatu yang berbeza. Dalam masa yang sama, mereka berpeluang mengenali lokasi operasi PKPS dan produk Ehsan melalui aktiviti yang menyeronokkan, mencabar dan memerlukan kerjasama berpasukan,” katanya.

Sepanjang perjalanan, peserta perlu menyelesaikan 13 aktiviti yang berlangsung di lima lokasi utama iaitu Wisma PKPS, Decathlon Shah Alam, Ehsan Mart Seksyen 9, Pasar Borong Selangor dan Selangor Fruit Valley.

Cabaran yang disediakan pula hadir dengan pendekatan berbeza. Ada yang menguji ketepatan menerusi Shoot the Target, ada memerlukan keseimbangan dalam Slow Cycle, selain tugasan membeli barangan Ehsan, membuat cendol, menganyam ketupat, memanah dan cabaran Fear Factor.

Gabungan aktiviti itu menjadikan perjalanan peserta bukan sekadar perlumbaan untuk tiba paling awal, tetapi turut menguji cara setiap kumpulan berkomunikasi, membahagikan tugas dan membuat keputusan bersama.

Selain hadiah bagi kategori terbuka dan media, peserta turut berpeluang membawa pulang 40 hadiah cabutan bertuah hasil sumbangan PKPS serta rakan strategik.

Antara rakan strategik dan penaja yang terlibat ialah Ombak Exclusive bagi pencetakan, Glamfit, Selangor FC, Decathlon, Extra Joss, Pierre Cardin, TM Tours, Grand Dorsett Subang, Ainita Travel, Mardiyyah Hotel, Synchronetwork, Century Software dan FK Technology.

Sokongan daripada pelbagai pihak itu turut dihargai Mohamad Khairil yang melihat kerjasama berkenaan sebagai ruang untuk PKPS membina hubungan lebih dekat dengan komuniti.

“Kerjasama daripada rakan media dan rakan strategik amat kita hargai. Sokongan ini bukan sahaja membantu menjayakan program, tetapi memberi peluang kepada kita untuk berinteraksi dengan masyarakat dan membina hubungan yang lebih dekat.

“Kita berharap Ehsan Unity Hunt ini dapat menjadi satu platform untuk PKPS mendekati komuniti dan membuka lebih banyak ruang kerjasama pada masa akan datang,” katanya.

Selepas melalui pelbagai cabaran, perjalanan peserta berakhir di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya yang menjadi lokasi majlis penutup bagi program julung kali diadakan oleh PKPS itu.