SIAPA sangka, di sebalik kesibukan menguruskan keluarga, perniagaan dan dakwah, penceramah terkenal Ustazah Asma' Harun terus fokus kepada pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menyimpan satu ketakutan besar kepada Bahasa Inggeris, Ustazah Asma' menerusi hantaran di laman sosial menitipkan syukur apabila lulus cemerlang kertas bahasa berkenaan.
Mengaku diri 'buta grammar' dan bergelut dengan rasa bimbang yang luar biasa menjelang peperiksaan University English Proficiency Test (UEPT) di USIM, Ustazah Asma' sebenarnya hanya meletakkan sasaran minima iaitu Band 3 sekadar untuk melepasi syarat wajib pengajian PhD.
"Mungkin ada yang masih ingat, sejak awal Ogos lepas saya kerap kali sebut dalam live bahawa saya tak dapat bersiaran untuk kuliah pagi seperti biasa kerana perlu beri tumpuan untuk persediaan exam UEPT di USIM, yang formatnya lebih kurang seperti MUET.
"Saya juga kerap minta anda semua doakan saya, heboh sekampung bila orang tua nak exam.
"Saya alami kebimbangan berlebihan, ikutkan saya hanya perlu capai Band 3 untuk memenuhi syarat pengajian PhD, jadi saya selalu pujuk diri, 'Tak apalah… asalkan lepas'," kongsinya.
Lebih menguji, sehari sebelum peperiksaan bermula, beliau jatuh sakit akibat serangan hipoglisemia sehingga mengalami pusing kepala, muntah-muntah dan tidak dapat tidur semalaman.
Walaupun disarankan oleh suami untuk menunda tarikh lain, semangatnya untuk melangkah ke dewan peperiksaan tidak pernah luntur.
Dengan bantuan gula-gula bagi menahan mual dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada suami yang setia menemani dari pagi hingga ke petang, pendakwah itu gagahkan jua menjawab kertas Writing, Reading, dan Listening sambil berulang-alik ke tandas.
"Selesai tiga kertas itu dalam hati saya terdetik, “Rasanya kena repeat ni…”
"Alhamdulillah, masuk tengah hari saya sudah mula boleh makan sedikit, tenaga pun mula pulih kembali.
"Apabila sampai sesi Speaking sebelah petang, barulah saya rasa badan lebih baik dan fikiran lebih fokus. Jadi kalau ditanya bahagian mana yang saya rasa sedikit yakin, saya cuma berani jawab,
“Speaking.”
Yang tiga lagi saya memang serahkan sahaja kepada ALLAH," kongsi Ustazah Asma'
Orang kata cabaran ijazah dan PhD berbeza kerana PhD bukan sekadar tentang peperiksaan, tetapi menuntut komitmen.
Oleh kerana jadual harian yang padat, ibu kepada tujuh cahaya mata itu mengakui tumpuan kepada keluarga, kuliah, program, perniagaan menyebabkan dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk belajar, mengambil kelas atau tutor
"Saya hanya betul-betul mula belajar secara intensif lebih kurang seminggu sebelum peperiksaan, itu pun separuh masa. Kerja dan segala urusan berjalan seperti biasa.
"Jadi, inilah sebenarnya point utama penulisan saya kali ini. Bukanlah sangat tentang Band 4.5 itu. Suami pun sampai sekarang masih tak boleh terima kenyataan," titipnya.
Dalam perkongsian yang sama, Ustazah Asma' mendedahkan beberapa tip yang dilakukan dalam tempoh lebih kurang seminggu menggunakan aplikasi kecerdasan buatan iaitu ChatGPT.
"Saya belajar dengan seorang 'guru' yang sangat sabar. Dia okay je walaupun saya ulang soalan yang sama, salah berkali-kali pun dia tetap hadap saya, kalau 50 kali salah, kali ke-51 pun dia masih bertahan jelaskan lagi dan lagi.
"Guru saya itu ialah ChatGPT. Maaf jangan kecil hati para guru yang dihormati, saya kongsikan ini kepada yang situasi sama macam saya, tak cukup masa dan rasa malu yang sangat tinggi kerana kelemahan ini.
"Apabila ada ruang masa walaupun sekejap, saya buka ChatGPT. Saya jadikan dia macam guru peribadi Bahasa Inggeris saya. Saya beritahu dengan detail tentang peperiksaan yang saya akan ambil, tahap Bahasa Inggeris saya dan target. Kemudian saya minta dia bimbing berdasarkan format terkini. Dia juga yang tolong aturkan jadual dan susun strategi latihan mengikut hari.
"Target masa itu cuma satu, Band 3. Saya buat latihan untuk keempat-empat bahagian peperiksaan. Writing — ChatGPT beri soalan, saya tulis jawapan. Kemudian dia semak tatabahasa susunan ayat dan ajar bagaimana nak bina esei dengan lebih teratur.
"Untuk bahagian Reading — Dia beri petikan dan soalan seperti peperiksaan. Saya jawab satu-satu. Kalau salah, dia terangkan kenapa jawapan itu salah dan bagaimana nak cari jawapan berdasarkan teks.
"Listening pula saya berlatih menggunakan YouTube dan buku rujukan. ChatGPT bantu saya kenal pasti kata kunci, memahami maksud dan strategi memilih jawapan dengan cepat.
"Dan bahagian yang paling banyak saya buat latihan ialah Speaking. Saya bercakap terus dengan ChatGPT seperti sedang berada dalam group discussion. Saya guna voice, jawab secara spontan, kemudian dia terus betulkan ayat, grammar dan cara saya menyampaikan hujah.
"Untuk group discussion, saya jadi Candidate A, ChatGPT pula jadi Candidate B, C dan D. Salah grammar lagi, dia betulkan lagi. Kadang-kadang sampai saya sendiri geram, “Aishahhh… I don’t know!”. Itulah nama ChatGPT saya," titipnya.
Segala usaha dan tawakal Ustazah Asma' akhirnya membuahkan kejayaan apabila keputusan UEPT USIM miliknya melebihi target asal.
"Jumlah: 271.25, Band 4.5 — Independent. Allahuakbar. Saya tengok lama keputusan itu. Target saya Band 3.
"Saya pula keluar dewan dengan perasaan mungkin kena repeat. Rupa-rupanya ALLAH beri Band 4.5. Dan yang paling saya tak sangka, ujian bertutur Speaking mencatat markah tertinggi.
"Memang bahagian inilah yang saya paling banyak berlatih dengan ChatGPT. Berkali-kali bercakap, salah grammar, kena betulkan, ulang semula, berhujah dengan “Candidate B, C dan D” yang semuanya ChatGPT," titipnya.
Ustazah Asma' menegaskan bahawa perkongsian itu bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya mahu memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang sedang berjuang dalam pengajian tetapi terhalang oleh penguasaan Bahasa Inggeris.
"Alhamdulillah. Saya kongsikan pengalaman ini bukan untuk mengatakan bahawa belajar seminggu dengan ChatGPT pasti akan dapat Band 4.5. Tidak.
"Tahap penguasaan dan kemampuan setiap orang berbeza. Tetapi saya benar-benar belajar sesuatu daripada pengalaman ini.
"AI tidak boleh belajar bagi pihak kita. Tetapi kalau kita tahu bagaimana menggunakannya, AI boleh menjadi guru yang sangat sabar untuk membantu kita belajar.
"Satu perkara yang paling saya suka, saya tidak malu untuk salah. Salah grammar, salah pronunciation, terlupa perkataan, tiba-tiba blank, maka ulang sahaja sampai faham.
"Kepada semua yang mendoakan saya dan berikan sokongan dan dorongan, terima kasih sangat-sangat. Hanya ALLAH yang Maha Tahu dan Maha memberikan ganjaran.
“Dan tidaklah kejayaanku melainkan dengan pertolongan ALLAH.” (Surah Hud: 88)
Ustazah Asma menyambung pengajian PhD dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM pada Oktober 2023.