Yaya buktikan bakat tiada batas, La gourmet terus sokong komuniti autistik

Iklan

BUKAN semua potensi hadir dalam bentuk yang sama. Ada yang terserlah melalui kata-kata, ada yang ditemui menerusi sentuhan seni, kemahiran memasak, membakar kek atau persembahan di pentas.

Hakikat itulah yang cuba diketengahkan La gourmet menerusi kempen “A Caring Heart” sempena ulang tahun ke-31 jenama kelengkapan isi rumah berkenaan.

Iklan
Iklan

Bersempena sambutan tersebut, La gourmet menyumbangkan RM100,000 kepada Kumpulan Sokongan Keperluan Khas Gem & Bread bagi menyokong pembangunan bakat dalam kalangan komuniti autistik.

Iklan

Lebih daripada sekadar bantuan kewangan, sumbangan berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk membuka ruang kepada kanak-kanak dan dewasa autistik mengembangkan kemahiran serta membina keyakinan diri.

Dana itu akan digunakan untuk melantik tenaga pengajar pakar selain merangka pelbagai program pembangunan bakat merangkumi seni lukis, pembuatan kek, masakan dan muzikal.

Iklan

Bagi Pengarah Urusan La gourmet & Kumpulan Syarikat Katrin BJ, Jean Yeap, perubahan terhadap cara masyarakat melihat komuniti berkeperluan khas perlu bermula dengan persoalan yang berbeza.

“Daripada kita bertanya apa yang mereka tidak boleh buat, lebih baik kita bertanya: Apa yang mereka BOLEH buat? Kemudian, berikan sokongan dan peluang untuk mereka lakukannya dengan terbaik,” katanya.

Pendekatan itu dapat dilihat menerusi kisah Yaya, seorang pelukis muda autistik yang hasil seninya dipilih untuk diabadikan pada Koleksi Ulang Tahun Ke-31 La gourmet.

Karya Yaya bukan sekadar menghiasi koleksi berkenaan, malah menjadi gambaran bahawa bakat boleh berkembang apabila seseorang diberikan ruang, sokongan dan peluang yang sewajarnya.

Komitmen La gourmet terhadap komuniti ini juga bukan sesuatu yang baharu. Perjalanan tersebut bermula kira-kira 12 tahun lalu menerusi kisah Akhtar, remaja autistik berusia 15 tahun dari NASOM.

Daripada pengalaman itu, usaha berkenaan terus berkembang sehingga Tabung Pembangunan Kemahiran (Skill-Development Fund) ditubuhkan secara rasmi pada 2014.

Bagi La gourmet, usia 31 tahun bukan sekadar angka yang menandakan perjalanan sesebuah jenama. Ia juga menjadi ruang untuk melihat bagaimana kejayaan yang dibina selama ini boleh dikongsi dengan masyarakat.

“Selama 31 tahun kami menemani keluarga di Malaysia. Seiring pertumbuhan jenama ini, tanggungjawab kami juga semakin besar. Kami mahu kejayaan ini turut mencipta peluang buat insan lain,” tambah Jean Yeap.