TERKENAL dengan personaliti yang mesra dan disenangi ramai, pelakon dan penyanyi Bella Astillah mendedahkan dia juga pernah menghadapi kehilangan rakan rapat.
Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah , 31, menerusi Instagram berkongsi foto aktiviti bersama bridesmaid menjelang pernikahannya dan dan dalam masa yang sama meluahkan sisi peribadi mengenai persahabatan yang tidak pernah dikongsikan.
Menurut Bella, perkara paling menyedihkan dalam sebuah persahabatan adalah apabila bertahun-tahun mengenali seseorang masih tidak mampu mengatasi satu cerita yang tidak pernah diberi peluang untuk dijelaskan.
"Semakin dewasa, Bella semakin sedar bahawa kehilangan seseorang tidak semestinya berlaku kerana kita berhenti menyayanginya.
"Kadang-kadang kita kehilangan seseorang kerana dia sudah membuat keputusan tentang siapa diri kita, sebelum sempat bertanya kepada kita sendiri,
"Dan itu antara perkara paling menyedihkan tentang sebuah persahabatan, apabila bertahun-tahun mengenali seseorang masih kalah kepada satu cerita yang tidak pernah diberi peluang untuk dijelaskan. Sebab bella kalau dah sayang, akan sayang sampai hujung nyawa," kongsinya.
Bella malah mengakui pernah berada pada satu titik apabila mempertahankan sebuah persahabatan dirasakan lebih penting daripada mempertahankan ego sendiri.
Malah, dia sanggup meminta maaf atas perkara yang bukan kesalahannya demi menyelamatkan hubungan yang amat disayangi.
Namun, pengalaman itu akhirnya mengajar Bella bahawa sekuat mana seseorang mahu mempertahankan sebuah hubungan, persahabatan tetap memerlukan dua hati yang sama-sama mahu kekal.
“Bella pernah sampai ke satu titik yang mana mempertahankan sebuah persahabatan terasa lebih penting daripada mempertahankan ego sendiri.
“Sampai sanggup meminta maaf atas perkara yang bukan salah Bella tapi demi menyelamatkan sebuah hubungan yang Bella sayang,” ujarnya.
Dalam masa sama, Bella meluahkan rasa syukur kerana masih dikelilingi sahabat yang memilih untuk kekal bersamanya meskipun masing-masing melalui perubahan, kesibukan dan fasa kehidupan berbeza.
Lebih menyentuh hati, ada antara sahabatnya yang sudah mengenali Bella lebih 25 tahun dan hubungan itu masih utuh sehingga hari ini walaupun tidak lagi sentiasa berada dekat.
“Alhamdulillah untuk sahabat yang tidak mudah melepaskan hanya kerana mendengar sesuatu tentang kita.
“Yang mengenali hati kita cukup lama untuk bertanya, ‘Betul ke?’ sebelum membuat keputusan untuk pergi,” katanya.
Menurut Bella, orang yang benar-benar mahu menjaga sesebuah hubungan akan memberikan ruang untuk berbicara dan mendengar penjelasan sebelum membuat keputusan.
“Kerana pada akhirnya, orang yang benar-benar mahu menjaga hubungan dengan kita akan memberi kita ruang untuk bercakap dan bukan menjatuhkan hukuman daripada cerita yang kita sendiri tidak pernah diberi peluang untuk jawab,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Bella turut menzahirkan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang terus berada di sisinya dan bakal menjadi sebahagian daripada momen istimewa dalam hidupnya sebagai bridesmaid.
“Dan mereka; Alhamdulillah, persahabatan yang akan saya jaga sampai bila-bila inshaAllah.
“Terima kasih sebab jadi orang baik,” katanya.
Perkongsian berkenaan menjadi perhatian warganet yang rata-rata memberikan kata-kata semangat buat Bella dan perkongsi pendapat mengenai persahabatan.
Sekadar info, Bella bakal melangsungkan pernikahan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 10 Oktober ini.