PELAKON dan pengacara Fikry Ibrahim mendedahkan telah berpisah dengan isterinya Siti Khalizah.
Menerusi satu hantaran di Instagram, pengacara Melodi itu telah berpisah sejak 173 hari lalu iaitu kira-kira April tahun ini.
"Dengan izin ALLAH, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri telah berpisah sejak 173 hari yang lalu. Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.
"Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-NYA. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang ALLAH izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza," kongsinya.
Jelas Fikry, tiada pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku kerana setiap insan mempunyai jalan hidup yang telah ditentukan. Malah, dia menghargai kehadiran Siti Khalizah sebagai isteri walaupun tidak berkekalan.
Artikel penuh:
Fikry Ibrahim suami Khalizah dengan sekali lafaz, diam-diam bernikah di Kedah
"Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang ALLAH izinkan untuk kita tempuh bersama dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza.
"Saya doakan semoga dia sentiasa dipelihara ALLAH, dipermudahkan segala urusan, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.
"Dan saya juga berdoa agar ALLAH memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan.
"Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya.
"Semoga ALLAH menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik," titipnya.
Sekadar info, Fikry dan Siti Khalizah berkahwin pada 12 Februari 2025 dalam satu majlis tertutup di Kedah.
Untuk rekod, Siti Khalizah pernah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana tiada persefahaman pada Mei 2025, Namun dia difahamkan menarik semula permohonan berkenaan.