Eina Azman urus sendiri akaun media sosial anak-anak, dedah cara kawal penggunaan gajet - ‘Mereka tak pernah tahu password’

Iklan

SEJAK kebelakangan ini, kelibat Datin Eina Azman mungkin tidak sekerap dahulu di kaca televisyen atau menghadiri acara hiburan. Namun, di sebalik kesibukannya mengurus keluarga, wanita itu kini memberi tumpuan kepada dunia perniagaan yang semakin dekat dengan dirinya.

Pemilik nama sebenar Ainur Syakina Azman itu mengakui, rutin hariannya kini banyak berkisar kepada suami, anak-anak dan perniagaan jamu yang sedang diusahakan.

Iklan
Iklan

Menurut Eina, dia juga lebih banyak meluangkan masa berinteraksi dengan pelanggan menerusi sesi siaran langsung di TikTok.

“Bila bangun pagi, saya tahu saya ada tujuan. Saya ada anak, ada suami dan ada tanggungjawab yang perlu saya buat setiap hari,” katanya ketika ditemui SinarPlus di Karnival Saya & MAGGI® baru-baru ini.

Iklan

Cetus idea hasil minat minuman herba

Iklan

Berkongsi mengenai penglibatannya dalam perniagaan jamu, Eina berkata idea tersebut tercetus daripada minatnya sendiri terhadap minuman berasaskan herba.

Katanya, pengalaman melihat pilihan jamu ketika berkunjung ke Indonesia membuatkan dia terfikir untuk menghasilkan minuman herba yang lebih sesuai dengan cita rasa masyarakat Malaysia.

“First of all, saya memang suka minum minuman yang herba. Tetapi bila kita pergi ke Indonesia, selalunya kita jumpa jamu yang pahit. Kita tidak biasa minum.

“Jadi saya terfikir, kenapa tidak kita hasilkan sesuatu versi Malaysia yang sedap dan lebih mudah diterima,” jelasnya.

Walaupun masih menyimpan rasa rindu untuk kembali ke set penggambaran, Eina sedar keutamaan hidupnya kini sudah berubah, lebih-lebih lagi apabila anak-anak semakin membesar.

“Mereka pun sudah 10 tahun. Saya rasa sekarang lebih kena fokus kepada mereka membesar,” ujarnya.

Status Datin bukan alasan untuk duduk diam

Bagi Wanita berusia 31 tahun itu, gelaran atau status dalam keluarga bukan penghalang untuknya bekerja dan membina perniagaan sendiri.

Malah, dia melihat usaha tersebut sebagai satu cara untuk terus belajar, berdikari dan pada masa sama memberi manfaat kepada orang di sekeliling.

“Ramai orang cakap, kenapa nak kena buat, sedangkan ada suami dan sebagainya. Tetapi bagi saya, husband is husband. Suami ada tanggungjawab dia.

“Tetapi kita sebagai isteri, kalau kita boleh buat sesuatu, why not? Selagi kita ada kesihatan yang baik, ada tangan, ada kaki dan masih sihat tubuh badan, kita boleh buat sesuatu.

“Bisnes juga boleh membantu orang lain. Jadi, dalam masa yang sama kita belajar dan boleh buat sesuatu untuk orang di sekeliling,” katanya.

Menurut Eina, dunia perniagaan juga memberikan satu tujuan baharu dalam kehidupan sehariannya.

Dia mengakui pada awalnya tidak pernah menyangka akan serius dalam bidang tersebut kerana sebelum ini lebih cenderung kepada lakonan dan memasak.

“Saya tidak pernah fikir saya akan buat bisnes. Suami selalu cakap, ‘tak nak buat bisnes ke?’

“Pada mulanya saya fikir, entahlah. Saya tengah minat berlakon, tengah minat memasak dan macam-macam lagi. Tetapi bila saya mula buat bisnes, rupanya seronok.

“Benda ini sangat menarik dan membuatkan saya lebih fokus,” katanya.

Media social anak diurus ibu

Dalam pada itu, dia turut berkongsi perkembangan dua cahaya matanya yang sebelum ini sering muncul di media sosial.

Katanya, anak lelakinya masih gemar menyanyi dan dia sendiri masih menyimpan banyak rakaman anaknya, namun tidak semua dikongsikan kepada umum.

“Anak saya suka menyanyi. Sebenarnya banyak sahaja saya rakam, tetapi saya tidak post sebab dia sendiri cakap, ‘Mommy, don't post lah.’ Dia malu, sudah jadi big boy.

“Bagi saya, apa yang membuatkan mereka gembira, saya okay. Tetapi buat masa sekarang, biarlah anak fokus kepada pelajaran dahulu.

“Kalau mereka nak buat sesuatu untuk suka-suka, boleh. Tetapi kalau mahu serius, tunggulah apabila mereka sudah besar sedikit. Sekarang mereka masih budak dan belum tahu apa yang mereka mahu. Biar mereka explore dahulu apa yang mereka suka,” katanya.

Eina turut menjelaskan akaun media sosial anak-anaknya masih diuruskan olehnya dan mereka tidak mempunyai akses kepada kata laluan.

Malah, pendedahan kepada gajet juga dikawal sejak kecil sebagai sebahagian daripada usaha Eina dan suami, Datuk Seri aiser Gurmeet Harden membentuk rutin yang lebih seimbang.

“Dari dulu sampai sekarang, memang saya yang urus. Mereka tidak pernah tahu password dan tidak pernah buka sendiri.

“Mereka memang tidak digalakkan bermain gajet sejak kecil. Hujung minggu pun masih tidak ada gajet. Bila cuti panjang seperti summer holiday, barulah kami bagi iPad atau sebagainya.

“Daripada beri iPad, kami galakkan mereka bermain sukan seperti paddle dan aktiviti lain. Macam itu lebih baik,” katanya.

Eina berkata demikian ketika ditemui SinarPlus di Karnival Saya & MAGGI® di Raintree Plaza, The Exchange TRX yang berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 September.

Karnival bersempena semangat Hari Malaysia itu menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai hidangan, aktiviti keluarga, program komuniti serta persembahan muzik.

Sambutan turut dimulakan sehari lebih awal, pada 16 September, menerusi acara pratonton bersempena ketibaan peserta Keretapi Sarong di lokasi karnival yang menjadi destinasi akhir mereka.

Sepanjang acara, pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk keluarga, petani tempatan, usahawan makanan dan rakan komuniti turut memeriahkan suasana bersama personaliti terkenal seperti Chef Naem Ramli, Ain Edruce, Kamal Adli, Aedy Ashraf, Nabila Razali, Fiza Sabjahan dan Emily Lim.

Persembahan DOLLA dan Ruffedge turut menghangatkan pentas sebelum Datuk Ziana Zain dan Misha Omar menutup karnival menerusi persembahan istimewa.