ADA perkara tentang seseorang yang lebih mudah dirasai daripada dijelaskan. Bukan kerana populariti atau pencapaian, tetapi melalui cara mereka membawa diri dan menghormati orang di sekeliling.
Begitulah pandangan penyanyi Nourul Depp terhadap Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sekali lagi menuai perhatian selepas satu momen pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25).
Bagi Nourul, sikap sopan dan penuh adab yang ditunjukkan Siti bukan sesuatu yang dibuat untuk tatapan umum, sebaliknya mencerminkan keperibadian sebenar penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.
Nourul malah mengakui sudah lama menyimpan rasa hormat terhadap Siti dan menganggap sikap tersebut sesuatu yang wajar dijadikan teladan, khususnya oleh generasi muda.
Perkara itu diluahkan menerusi hantaran di Threads apabila Nourul menyifatkan adab Siti sebagai sesuatu yang sukar untuk dilakonkan kerana hadir secara semula jadi.
“Siapa yang tak suka atau kurang senang dengannya, akan menjadi lemah apabila melihat adab sopan dan baiknya. Ini tidak bisa dilakonkan. Ini semua semula jadi.
“Rezeki si ibu yang melahirkan, tuah suami yang memilikinya, contoh terbaik buat anak-anaknya,” tulisnya.
Nourul turut mengimbas pertemuan pertama dengan Siti yang meninggalkan kesan kepadanya.
Katanya, sejak awal mengenali figura kesayangan ramai itu, dia sudah menghormati cara Siti membawa diri.
Malah, Nourul menyambut baik apabila semakin ramai dapat melihat sendiri sisi tersebut, selain menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan Siti.
“Saya dari hari pertama kenal figura ini, saya hormati kesopanannya dan kebaikannya. Alhamdulillah lebih banyak mata melihat siapa dia sebenarnya.
“Contoh terbaik buat generasi kini. Syabas Siti. Tahniah atas kemenangan dan syabas atas sikapmu ini,” ujarnya.
Momen yang dimaksudkan Nourul berlaku ketika AIM25 apabila Siti memimpin tangan penulis lirik Datuk Habsah Hassan ke pentas bagi menerima anugerah Lagu Tradisional Terbaik.
Tindakan kecil itu mungkin kelihatan sederhana, namun bagi Nourul, perkara sebegitu cukup untuk memperlihatkan nilai hormat dan adab yang masih dipegang oleh Siti.
Dalam dunia seni yang sering menjadi perhatian, keperibadian di luar pentas juga akhirnya menjadi sebahagian daripada perkara yang diingati peminat.