BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak dapat menahan tangisan saat menziarahi jenazah Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Menerusi hantaran di Instagram, Siti dilihat menangis ketika mengucup jenazah semasa memberi penghormatan terakhir.
"Saya menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia, memandangkan jasa dan sumbangan Tun Dr Hasmah yang begitu banyak dalam bidang kesihatan, kebajikan dan pembangunan wanita sepanjang hayatnya.
"Saya turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh ahli keluarga agar diberikan ketabahan, kesabaran dan kekuatan jiwa dalam menghadapi dugaan berat ini.
"Allahyarhamah adalah seorang tokoh wanita yang sangat penyayang, lemah lembut dan mempunyai sifat keibuan yang tinggi," kongsinya.
Warga maya menitipkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Tun Hasmah dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya 9.20 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN) dibawa pulang ke kediaman keluarga di Mines Resort City sebelum dibawa ke Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan untuk dimandi serta dikafankan.
Jenazahnya akan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara di Presint 20, Putrajaya bersebelahan Tun Endon.
https://youtube.com/shorts/uJNnu4VEU5E?si=Z6VL3IW5AtKKJ1tC