‘Kehilangan teman hidup puluhan tahun bukan mudah’ - Rita Rudaini sebak lihat Tun Mahathir di sisi jenazah Tun Hasmah

Iklan

RIAK wajah Tun Dr Mahathir Mohamad yang sayu ketika berada di sisi jenazah isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, mengundang rasa sebak dalam kalangan ramai.

Selepas 70 tahun berkongsi kehidupan, kehilangan teman yang sentiasa berada di sisi tentu meninggalkan ruang yang sukar diisi. Momen itu turut menyentuh hati pelakon Rita Rudaini yang mengakui amat mengagumi perjalanan hidup pasangan negarawan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menerusi perkongsian di media sosial, Rita meluahkan rasa dukanya selepas menerima berita pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah.

“Rasanya bukan saya sahaja, seluruh Malaysia turut terasa kehilangan ini. Pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah adalah satu kehilangan besar buat negara,” luahnya.

Iklan

Bagi Rita, Tun Dr Hasmah dan Tun Dr Mahathir bukan sekadar dua sosok yang dikenali kerana sumbangan mereka kepada negara, sebaliknya turut menjadi pasangan yang dikagumi kerana perjalanan hidup bersama.

Kesetiaan Allahyarham sebagai seorang isteri yang sentiasa berada di sisi suami sepanjang perjalanan mereka menjadi antara perkara yang paling menyentuh hati Rita.

Iklan

“Bagi saya, mereka adalah antara permata negara, dua susuk yang mempunyai aura dan tempatnya tersendiri dalam hati rakyat,” ungkapnya lagi.

Bukan itu sahaja, ibu kepada dua cahaya mata tersebut turut mengakui hatinya tersentuh apabila melihat keadaan Tun Dr Mahathir selepas pemergian insan yang begitu lama menemaninya.

Baginya, kehilangan pasangan hidup selepas puluhan tahun bersama bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi apabila segala kenangan, susah dan senang telah dikongsi sepanjang perjalanan tersebut.

“Melihat Tun hari ini, hati saya tersentuh. Kehilangan teman hidup setelah puluhan tahun bersama bukan sesuatu yang mudah untuk digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, Rita menitipkan doa agar Tun Dr Mahathir terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk melalui fasa baharu dalam hidupnya.

“Semoga Tun Dr Mahathir terus diberikan kekuatan, ketabahan dan semangat menghadapi kehilangan insan yang begitu dicintainya.

“Selamat jalan, Tun Dr Hasmah,” tulisnya.

Rita turut mendoakan agar ALLAH SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, merahmati rohnya serta menempatkannya bersama golongan yang beriman dan beramal soleh.

“Salam takziah buat Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga.

“Malaysia kehilangan seorang wanita yang sangat disayangi. Al-Fatihah,” katanya.