PEMERGIAN remaja, Irene Sofiya Mohd Kharool Faisal, 16, memberikan kesan emosi yang hebat buat datuknya, Khyar Abas, 69.
Kenyataan remaja itu yang maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng masih sukar diterima, lebih-lebih lagi selepas mengetahui Fiya menjadi mangsa perbuatan kejam.
“Kenapa buat (bunuh) cucu saya macam itu? Apa salah cucu saya?"
“Kalau saya menangis sekalipun, Fiya tidak akan kembali. Saya cuma kesal kenapa Fiya menjadi mangsa kejam?
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut. Berilah balasan yang setimpal kepada mereka yang melakukan perbuatan ini,” katanya.
Ketika ditemui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Kampung Parit Selamat, Khyar menceritakan detik pilu kehilangan.
Malah selepas menunaikan solat Subuh pada pagi tadi, dia merasakan seolah-olah cucunya berada di rumah seperti kebiasaannya sebelum ke sekolah.
Dia juga tidak dapat menahan sebak dan air mata apabila terkenangkan Irene Sofiya yang tidak pernah lupa bersalaman dengannya sebelum ke sekolah.
“Saya rindu salam daripada Fiya, terutama setiap kali mahu ke sekolah.
“Pagi tadi, baru saya sedar Fiya sudah tiada dan sebab itulah saya kena kuat untuk menghadapi dugaan ini,” katanya.
Raja Permaisuri Agong, Che Puan Mahkota ziarah
Dalam pada itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi keluarga berkenaan di Kampung Parit Selamat, Batu Pahat.
Memetik Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ia dimulakan dengan bacaan surah Yassin dan tahlil dipimpin oleh Kadi Daerah Batu Pahat Mohd Fauzi Bachok.
Raja Zarith Sofiah perkenan mengurniakan sumbangan peribadi di samping memberikan kata-kata semangat buat bapa Allahyarham, Mohd Khairool Faisal Khyar dan nenek remaja berkenaan, Jameyah Rabani serta keluarganya.
Pertemuan yang berlangsung hampir sejam dan baginda diiringi oleh Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Sekadar info, Irene Sofiya dijaga oleh datuk dan neneknya sejak berusia sembilan tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser hati.
Bapanya bekerja sebagai seorang jurutera di Bangi, Selangor dan Irene Sofiya berazam menjadi seorang doktor mengikut jejak langkah ibunya.
Allahyarham terdahulu ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah terbabit pada kira-kira 5.50 petang.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari sama sebelum memperoleh perintah reman selama enam hari hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian, Bernama