SEMAKIN meningkat usia, semakin terasa betapa berharganya waktu yang masih diberi untuk bersama insan tersayang.
Buat Datuk Syafinaz, ulang tahun ke-96 kelahiran ibunya, Zaiton Hasan, bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi kesempatan untuk mengenang segala kasih sayang, pengorbanan dan doa yang dicurahkan seorang ibu sepanjang hayat.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, penyanyi yang juga jurulatih vokal terkenal itu meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang meraikan hari istimewa tersebut bersama ibu tercinta.
“Selamat ulang tahun, Mak tersayang. Semoga ALLAH terus mengurniakan Mak kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan umur yang penuh keberkatan,” tulisnya.
Menurut pemilik nama sebenar Syafinaz Selamat, segala kasih sayang, pengorbanan dan doa ibunya selama ini amat besar nilainya buat dirinya sekeluarga.
Malah, sempena usia ibunya yang kini 96 tahun, keluarga besar SelTon turut menitipkan doa agar Zaiton sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT, dikurniakan kesihatan dan dikelilingi insan yang menyayanginya.
“Semoga Mak terus dikelilingi insan-insan yang menyayangi Mak dan kami diberi kesempatan menikmati hari-hari yang indah bersama Mak,” kata pelantun lagu Ingin Bersamamu itu lagi.
Dalam perkongsian sama, Syafinaz turut merendah diri memohon orang ramai meluangkan sedikit masa untuk mendoakan ibunya.
Dia secara khusus meminta agar nama Zaiton Hasan turut disebut dalam doa, selain mendoakan agar ibunya dipanjangkan usia dalam kesihatan dan keberkatan, diberi kekuatan serta ketenangan dan diampunkan segala dosa.
Bagi Syafinaz, setiap doa yang dititipkan buat ibunya amat bermakna buat dirinya sekeluarga.
“Semoga doa-doa yang baik itu kembali juga kepada kalian dan keluarga dengan segala kebaikan daripada ALLAH SWT,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsian penuh kasih itu, Syafinaz turut menitipkan ungkapan ringkas namun cukup mendalam buat wanita yang sentiasa dekat di hatinya.
“I love you forever Mak,"ungkap Syafinaz yang mesra disapa Tok Naz.
Semoga Zaiton terus dipelihara dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH SWT serta dikurniakan hari-hari yang indah bersama keluarga tercinta.