PULANG ke rumah ibu bapa sepatutnya menjadi peluang untuk melepaskan rindu, berkongsi cerita dan menikmati masa bersama insan tersayang. Namun, di sebalik kemeriahan pertemuan itu, ada perkara kecil yang kadangkala terlepas pandang, termasuk keprihatinan untuk membantu ibu bapa tanpa perlu diminta.
Perkara itu menjadi perhatian pendakwah selebriti, PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, yang mengingatkan golongan anak dan menantu supaya tidak hanya duduk menunggu dilayan setiap kali berkunjung ke rumah keluarga.
Menerusi perkongsian di Threads, suami kepada selebriti Nur Neelofa itu menyeru anak-anak agar lebih peka terhadap keperluan ibu bapa, terutama ketika waktu makan. Jika selama ini ibu yang sibuk menghidangkan makanan dan memastikan semua orang selesa, tidak salah untuk anak mengambil alih tugas tersebut.
“Jangan biar mak yang angkat benda-benda itu semua. Kau bangun pergi tolong. Kau yang jamu,” tegasnya.
Jangan lupa jasa ibu bapa apabila berjaya
Pesanan itu turut membawa peringatan bahawa kejayaan dalam kerjaya, kedudukan dan kehidupan tidak seharusnya menjadikan seseorang lupa akan pengorbanan ibu bapa.
Menurut PU Riz, doa seorang ibu antara perkara yang tidak wajar dipandang ringan, walau setinggi mana pun pencapaian yang diraih oleh anaknya.
“Kenali diri, jangan angkuh atas kesementaraan,” pesannya.
Hakikatnya, membantu ibu bapa tidak semestinya memerlukan wang yang banyak atau usaha yang luar biasa. Perkara sederhana seperti mengangkat pinggan, menyediakan minuman, membantu mengemas meja atau bertanya jika mereka memerlukan bantuan juga mampu meringankan beban.
Lebih penting, sikap prihatin itu menunjukkan bahawa anak-anak bukan sekadar datang untuk menikmati layanan, sebaliknya turut mahu mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga ibu bapa.
Netizen turut berkongsi pengalaman
Perkongsian PU Riz mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads. Ramai bersetuju bahawa anak-anak sewajarnya mengambil inisiatif untuk berkhidmat kepada ibu bapa, bukannya mengharapkan layanan seperti tetamu setiap kali pulang.
Seorang pengguna berkongsi pandangan bahawa kunjungan ke rumah ibu bapa sepatutnya disertai keinginan untuk membantu, bukan sekadar melepaskan rindu.
Ada juga yang meluahkan rasa terkilan apabila melihat ibu bapa begitu bersungguh-sungguh menyediakan makanan dan melayan anak serta menantu, tetapi tidak menerima layanan serupa apabila berkunjung ke rumah anak-anak.
Bagaimanapun, seorang pengguna turut berkongsi pengalaman berbeza apabila ibu mentuanya sendiri lebih gemar menguruskan segala persiapan dan meminta anak-anak duduk menikmati hidangan.
Walaupun begitu, pengguna berkenaan tetap berusaha membantu, sekurang-kurangnya dengan menyediakan minuman, kerana tidak sampai hati melihat ibu mentua melakukan semuanya seorang diri.
Perkongsian itu mengingatkan kita bahawa kasih sayang kepada ibu bapa tidak cukup sekadar dilafazkan. Ada kalanya, rasa hormat dan penghargaan lebih bermakna apabila diterjemahkan melalui tindakan kecil yang dilakukan dengan ikhlas.