'Saya tidak pernah menutup pintu hati' – Nora Danish belum serik bercinta, masih berharap dipertemukan dengan lelaki beriman

Iklan

USIA dan pengalaman hidup mengajar seseorang bahawa kebahagiaan tidak semestinya hadir mengikut perancangan. Begitu juga soal cinta, yang adakalanya membawa kegembiraan, tetapi tidak terlepas daripada kekecewaan dan ujian.

Demikianlah juga dengan pelakon Nora Danish yang masih percaya bahawa cinta mempunyai tempat tersendiri dalam kehidupannya, meskipun sudah dua kali melalui episod perceraian.

Iklan
Iklan

Bagi si cantik manis berusia 44 tahun itu, pengalaman lalu tidak bermakna dia perlu menutup terus pintu hati. Sebaliknya, dia masih menyimpan harapan untuk bertemu pasangan yang sesuai, khususnya lelaki beriman yang mampu membimbingnya dalam kehidupan.

“Idaman setiap wanita adalah untuk mendapatkan suami yang beriman. Kalau dapat, Alhamdulillah,” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, keutamaan Nora kini sedikit berbeza. Jika dahulu dia merasakan kehadiran pasangan penting sebagai teman menjalani kehidupan, kini pelakon itu lebih selesa memberikan ruang kepada dirinya sendiri.

Perubahan itu juga menjelaskan mengapa perkongsiannya di media sosial, termasuk Threads, tidak seharusnya dianggap sebagai petunjuk bahawa dia sedang mencari pasangan.

Iklan

Menurut Nora, perkongsian tersebut lebih kepada usaha untuk mendekati peminat dan pengikut serta mewujudkan komunikasi dua hala.

Belajar menerima perjalanan hidup sendiri

Melihat pasangan lain menikmati kebahagiaan rumah tangga tidak membuatkan Nora berhenti berharap. Sebaliknya, kebahagiaan yang ditunjukkan rakan selebriti seperti Neelofa bersama PU Riz serta Bella Astillah dan Syed Saddiq menjadi inspirasi buat dirinya.

Namun, dia sedar setiap orang mempunyai perjalanan berbeza dalam soal cinta dan perkahwinan.

Hubungan yang kelihatan bahagia pada pandangan orang luar juga bukan jaminan bahawa perjalanan sesebuah pasangan akan sentiasa mudah. Sebab itu, Nora memilih untuk melihat kebahagiaan orang lain sebagai sesuatu yang boleh diraikan tanpa membandingkan perjalanan hidup sendiri.

“Apabila pergi ke acara Neelofa dan melihat dia bersama suami, atau melihat pasangan seperti Bella Astillah dan Syed Saddiq, kita boleh menjadikan mereka sebagai inspirasi.

“Tetapi untuk mendapatkan hubungan seperti yang mereka miliki, mungkin kita akan dapat, mungkin juga tidak. Kita hanya mampu berdoa untuk yang terbaik,” ujarnya.

Bagi Nora, kegagalan dalam perkahwinan bukan bermakna seseorang itu tidak lagi berpeluang menikmati kebahagiaan bersama pasangan baharu.

Dia juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali mendirikan rumah tangga buat kali ketiga, walaupun menyedari tiada siapa dapat menjamin bagaimana sesebuah hubungan akan berakhir.

“Gagal dalam perkahwinan itu perkara biasa. Itu ujian kehidupan. Kalau kali ketiga saya berkahwin, mungkin saya gagal lagi, mungkin juga tidak.

“Semua itu lumrah kehidupan. Hendak mendapatkan pasangan yang sempurna memang sukar,” katanya.

Cinta masih ada tempat dalam hidupnya

Di sebalik pengalaman yang dilalui, Nora mengakui dirinya masih seorang yang romantik dan tidak pernah menutup peluang untuk menerima kehadiran insan baharu.

Malah, kecenderungannya terhadap kisah percintaan turut tercermin dalam pemilihan filem yang banyak berkisar tentang cinta.

“Malah, pemilihan filem saya pun kebanyakannya berkisarkan kisah romantik.

“Jadi, Nora memang memerlukan cinta dalam kehidupan. Saya tidak pernah menutup hati dan sentiasa berdoa supaya Allah memberikan jodoh yang terbaik untuk saya,” jelasnya.

Nora berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sesi penggambaran drama TV3, Perempuan Sesudah Lafaz, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Selasa lalu.

Drama arahan Nizam Zakaria itu turut menampilkan Yusuf Bahrin, Riena Diana, Puteri Aishah, Syazwan Zulkifli dan Muhsin Nadzli serta dijadualkan bersiaran di TV3 tidak lama lagi.

Sumber: Astro Gempak