Ameng Spring jelaskan punca hubungan dengan Azeva terputus, akui anak dua kali kehilangan figura bapa – “Bukan masuk jel 8 hari, 8 tahun”

Iklan

HUBUNGAN antara bapa dan anak perempuan bukan selalu melalui jalan yang mudah. Bagi penyanyi Datuk Ameng Spring, perpisahan dengan bekas isteri dan tempoh lapan tahun menjalani hukuman penjara menjadi antara faktor yang menyebabkan hubungannya dengan anak, Wan Azevanatassha atau Azeva, terputus sekian lama.

Ameng tidak menafikan luahan hati Azeva mengenai ketiadaan figura bapa dalam kehidupannya. Malah, penyanyi lagu Sejiwa dan Sampai Hati itu menjelaskan, anak perempuannya berdepan dua pengalaman kehilangan sosok ayah pada fasa berbeza dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

Menerusi satu potongan video yang dikongsikan di Instagram, Ameng berkata, perceraian dan tempoh dirinya dipenjarakan menjadi dua peristiwa utama yang menjejaskan hubungan mereka.

Iklan

“Masalah Azeva itu ada dua sebab. Satu, masalah selepas perceraian. Yang itu saya tak boleh nak cerita panjang-panjang.

“Yang kedua, dia kata dia kehilangan ayah sebab masa itu saya masuk penjara. Jadi, dia dua kali kehilangan ayah,” katanya.

Iklan

Menurut pemilik nama penuh, Wan Aminuddin Wan Ismail keadaan menjadi lebih sukar apabila tempoh lapan tahun menjalani hukuman penjara menyebabkan dirinya terlepas banyak fasa penting dalam kehidupan Azeva.

Jika sebelum itu hubungan mereka terjejas akibat perpisahan ibu bapanya, pengalaman tersebut berulang apabila Ameng tidak dapat berada di sisi anaknya ketika membesar.

“Bukan masuk penjara lapan hari, tetapi lapan tahun. Katakanlah umur dia 12 tahun, campur lapan tahun, umur dia dah 20 tahun. Dia dah besar, dah masuk alam remaja.

“Dia pula sambung belajar di Australia. Takkan saya nak duduk Australia?” ujarnya.

Ameng bagaimanapun mengakui, luahan Azeva mengenai pengalaman kehilangan figura bapa itu benar berdasarkan apa yang dilalui anaknya.

Hubungan kembali rapat selepas sekian lama

Terdahulu, Azeva meluahkan perasaan mengenai pengalaman membesar tanpa kehadiran seorang ayah selama 35 tahun menerusi podcast Confession Bilik Gelap.

Dalam perkongsian itu, Azeva menceritakan bagaimana dia pernah membandingkan kehidupannya dengan rakan sebaya yang dapat membesar bersama ibu bapa masing-masing.

Ketika kecil, dia sukar memahami mengapa kehidupannya berbeza daripada orang lain. Namun, seiring pertambahan usia, Azeva mula menerima bahawa setiap individu mempunyai perjalanan hidup tersendiri.

Walaupun melalui pengalaman yang bukan mudah, hubungan Azeva dan Ameng kini dilihat semakin baik, terutama selepas kemunculan mereka dalam sebuah program realiti. Ameng juga dikatakan semakin mengambil berat tentang kehidupan anak perempuannya itu.

Perkembangan tersebut memberi ruang buat mereka membina semula hubungan yang pernah terpisah sekian lama.

Untuk rekod, Azeva merupakan anak hasil perkahwinan Ameng dengan penerbit drama terkenal, Datuk A.Aida. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1994 sebelum bercerai pada 2003.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Wan Az Aleesa dan Wan Azevanatassha.