48 tahun dalam industri media, Karangkraf terima Anugerah Organisasi Ikonik di peringkat antarabangsa

Iklan

MENGHARUNGI perubahan dunia media selama hampir lima dekad bukan perjalanan yang singkat. Di sebalik setiap fasa perkembangan industri, usaha untuk terus relevan dan memberi manfaat kepada masyarakat menjadi antara cabaran yang perlu ditempuh oleh sesebuah organisasi.

Bagi Karangkraf, perjalanan selama 48 tahun dalam industri media dan penerbitan kini menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi Anugerah Organisasi Ikonik yang Membina Dunia Lebih Baik untuk Semua.

Iklan
Iklan

Pengerusinya, Firdaus Hussamuddin menyifatkan penghargaan daripada Women Economic Forum (WEF) itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka, sekali gus menjadi pengiktirafan bermakna terhadap usaha dan sumbangan organisasi berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

“Kita pun tidak sangka usaha selama 48 tahun ini dipandang dan diiktiraf untuk melayakkan kami menerima anugerah ini,” katanya.

Iklan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) atas pengiktirafan yang diberikan kepada Karangkraf.

Anugerah itu diterima sempena Annual WEF and G100 Global Meet 2026 yang berlangsung di International Youth Centre, Kuala Lumpur pada Rabu. Penyampaiannya disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Iklan

Pemerkasaan wanita, kekuatan komuniti

Selain meraikan pencapaian organisasi dan individu, forum berkenaan turut mengetengahkan kepentingan pemerkasaan ekonomi wanita dalam membina komuniti yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Dalam ucapannya, Suriani menegaskan bahawa usaha memperkasa wanita membawa kesan yang lebih luas daripada sekadar meningkatkan pendapatan individu, malah turut membantu memperkukuh institusi keluarga dan ekonomi setempat.

“Memperkasa wanita juga bermakna memperkasa komuniti,” katanya.

Menurut beliau, wanita khususnya di kawasan luar bandar memainkan peranan penting dalam pembangunan negara menerusi pelbagai bidang, termasuk keusahawanan, pertanian, penghasilan produk tempatan, kraftangan dan perniagaan digital.

Tidak sedikit perniagaan wanita yang bermula secara kecil-kecilan dari rumah atau dalam komuniti setempat sebelum berkembang menjadi perusahaan yang mampu menjana pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong ekonomi tempatan.

Bagaimanapun, potensi tersebut perlu disokong dengan akses lebih luas kepada pembiayaan, teknologi, latihan kemahiran, pasaran serta rangkaian perniagaan, terutama bagi wanita di kawasan luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat kemudahan.

Suriani berkata, jaringan yang dibentuk menerusi WEF dan G100 juga perlu dimanfaatkan untuk membina kerjasama strategik yang menghasilkan tindakan serta impak yang boleh diukur, bukan sekadar pertukaran maklumat perniagaan.

Malaysia, katanya, turut mengalu-alukan kerjasama dengan delegasi antarabangsa bagi membuka pasaran baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak ruang untuk perniagaan yang diterajui wanita berkembang.

Pengiktirafan perlu disusuli tindakan

Pada masa sama, Suriani mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah yang diiktiraf atas pencapaian, kepimpinan dan sumbangan mereka dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah forum tidak seharusnya dinilai berdasarkan perbincangan yang berlangsung semata-mata, sebaliknya perlu dilihat melalui pelaksanaan inisiatif dan kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada wanita, keluarga serta komuniti.

Menurutnya, pembangunan masa depan memerlukan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, keusahawanan yang membuka peluang, teknologi yang memperkasa masyarakat serta kepimpinan yang mengimbangi cita-cita dengan keprihatinan.

“Apabila wanita diperkasa untuk memimpin, komuniti menjadi lebih kuat dan secara tidak langsung ekonomi menjadi lebih berdaya tahan.

“Apabila kita bekerjasama merentasi sempadan, kita mampu mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.