MEMILIKI keluarga besar dan dipenuhi gelak tawa anak-anak sememangnya satu rahmat yang tidak ternilai buat mana-mana pasangan suami isteri.
Bagi isteri kepada pelawak popular Fad Bocey, Syaheera Rahman, 32, impiannya untuk memiliki lima cahaya mata sebelum menginjak usia 30 tahun akhirnya dimakbulkan ALLAH SWT.
Menerusi satu hantaran di akaun media sosial miliknya, Syaheera meluahkan rasa syukur bersempena bulan kelahiran cahaya mata mereka yang disifatkan sebagai bulan penuh keistimewaan.
"Anak lelaki mommy daddy, bulan yang istimewa sebab tiga orang lahir dalam bulan Oktober. Korang kekuatan mommy," tulisnya.
Sempena ulang tahun kelahiran anaknya, Maleeq, Syaheera turut berkongsi cabaran menguruskan anak bongsu yang disifatkan memerlukan tahap kesabaran ekstra berbanding yang lain.
"Dia punya tahap kesabaran memang kena tinggi. Sebab anak bongsu agaknya, dia uji kesabaran mommy dan daddy ke tahap yang berbeza (to another level).
"Tapi tetaplah sayang itu tak pernah kurang untuk korang lima beradik," kongsinya lagi.
Mengimbas kembali doa dan harapan masa lalunya, Syaheera mengakui pernah memohon untuk dikurniakan lima cahaya mata sebelum usianya mencapai 30 tahun.
Meskipun membesarkan lima anak yang masih kecil menuntut kekuatan mental dan fizikal yang tinggi, beliau dan Fad sentiasa bersedia menggalas tanggungjawab tersebut demi kebahagiaan permata hati mereka.
"Saya pernah minta lima anak sebelum umur 30 tahun, dan di sini ALLAH makbulkan.
"Sesusah mana pun keadaan itu, sesulit mana pun untuk korang, tetap mommy dan daddy akan usahakan. Selamat hari lahir Maleeq, mommy daddy sayang sangat kat awak," tambahnya.
Perkongsian tulus tersebut meraih perhatian netizen dan rakan artis yang turut mendoakan kebahagiaan serta kesejahteraan keluarga kecil pasangan berkenaan.
Untuk rekod, Fad dan Syaheera mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015, dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu pasangan kembar Favian Adrazin Hayyyan dan Favian Adrazin Zayyan, Nur Aminah Mirshall, Ibrahim Jibriel dan Kahl Maleeq.